SUKAN

PENGURUSAN KLFA PERLU ADIL, SELESAI ISU TUNGGAKAN GAJI - FAHMI

10/07/2024 09:51 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Penaung Kelab Kuala Lumpur City (KL City) Fahmi Fadzil meminta pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) bersikap adil kepada pemain dalam menyelesaikan masalah tunggakan gaji.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata beliau telah cuba membantu dan menyampaikan pandangannya kepada Setiausaha Agung KLFA Nokman Mustaffa namun terdapat beberapa perkara asas masih belum diselesaikan.

“Pengurusan mesti bersih. Saya bukan sebahagian daripada majlis eksekutif, saya hanya penaung dan saya hanya membantu tetapi sukar untuk dibantu kalau banyak perkara asas KLFA belum dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas program sumbangan topi keledar percuma kepada 150 murid Sekolah Kebangsaan Bangsar, di sini hari ini. 

Beliau turut meminta pengurusan KLFA untuk melaksanakan pemilihan dalam Mesyuarat Agung Tahunan KLFA pada masa akan datang bagi menyelesaikan isu yang terpalit berkaitan kelab bola sepak itu.

“Saya cuba bantu dan saya simpati terhadap pemain KL City. Saya telah berjumpa dengan pemain-pemain (KL City) di dalam bilik persalinan untuk membantu mereka, pada saat-saat mereka hampir relegated dan tidak dibenarkan ambil pemain import,” katanya. 

Sebelum ini, kem KL City menjadi topik hangat peminat sukan apabila kapten pasukan City Boys Paulo Josue mendedahkan beliau tidak menerima gaji hampir tujuh bulan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan