FOKUS BERNAMA

Kyoto State Guest House Serlah Nilai Estetika, Seni Klasik Jepun

11/07/2024 09:10 AM

Walaupun hanya sehari, kesempatan untuk menikmati keindahan Kyoto, antara kota tertua di Jepun dengan lebih seribu tahun warisan sejarah, begitu mengujakan dan tidak hairanlah ia terus dikunjungi pelancong seluruh dunia.

Terletak di Pulau Honshu, bandar yang pernah menjadi ibu kota negara matahari terbit ini dan di kelilingi istana dan kuil lama, ibarat sebuah taman sejarah kerana gabungan landskap semula jadi serta seni bina klasik. 

Menjadi pusat pentadbiran Jepun dari tahun 794 hingga 1868, sebelum ibu kota dipindahkan ke Tokyo, Kyoto memainkan peranan penting dalam mempertahankan warisan tamadunnya termasuk seni tradisional unik seperti tenunan tekstil, pertukangan dan penghibur Geisha. 

Penulis berpeluang menginjak bumi Kyoto ketika berada di Jepun pada Jun lepas semasa membuat liputan untuk lawatan rasmi Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul ke negara itu, atas undangan Speaker Dewan Perwakilan Jepun Fukushiro Nukaga.

 

BAGAIKAN GALERI 

Selama di Kyoto, penulis bertuah dapat menginap di Kyoto State Guest House iaitu rumah penginapan khas bagi tetamu negara dan pengalaman itu sahaja sudah memberi gambaran jelas pesona nostalgia Kyoto yang digambarkan secara lengkap di seluruh rumah tamu ini. 

Mungkin masih ramai yang tidak tahu,  sebenarnya rumah ini dibuka sepanjang tahun untuk kunjungan orang awam dan pelancong, sekiranya tidak digunakan bagi acara rasmi iaitu menyambut tetamu luar negara.  

pic-2

Terletak di destinasi tarikan utama Jepun, Kyoto State Guest House bagaikan sebuah galeri yang mengetengahkan kesenian tradisional Kyoto di setiap sudut rumah penginapan daripada aspek landskap, hiasan, perabot dan kemasan. 

Dibina pada tahun 2005, rumah tamu yang terletak di Taman Negara Kyoto Gyoen ini menampilkan bumbung gaya irimoya dengan luarannya gaya sukiya yang lazimnya digunakan pada kediaman tradisional Jepun.

Menurut Ketua Pengarah Kyoto State Guest House Akiteru Mikami, gabungan gaya tersebut disatukan bagi memastikan ia selari dengan landskap bersejarah dan persekitaran semula jadi di sekeliling rumah tamu itu.

Berkeluasan 20,000 meter persegi, setiap tetamu disambut dengan keindahan gaya kontemporari Jepun dan kemasan ringkas pada pintu utamanya yang diperbuat daripada pokok Zelkova Serrata atau lebih dikenali sebagai Elm Jepun yang berusia 700 tahun. 

Ketika menjejakkan kaki ke lobi utama atau Juraku-no-Ma, pandangan tetamu pastinya terpaku pada perhiasan bunga ikebana yang digubah mengikut cita rasa mereka yang diraikan serta mempunyai ciri negara yang diwakilinya.

Bukan sekadar gubahan bunga, ikebana juga sebenarnya menggambarkan falsafah Jepun mengenai kesederhanaan, keseimbangan dan keharmonian dengan alam, apabila setiap gubahan turut menggunakan bahan seperti daun, ranting, batu dan pasir. 

pic-3

Di ruangan Juraku-no-Ma ini juga terlihat kemasan perabot yang dibuat menggunakan kemahiran pertukangan tradisional Kyoto serta tempat duduk yang dilapik dengan fabrik nishijin berwarna merah tua, memberikan suasana selesa.

Ketika melalui koridor, tetamu dapat melihat bahagian lantai rumah yang menggunakan papan Elm Jepun yang direka khas untuk anticalar.  Ruangan ini tidak menggunakan langsir sebaliknya tingkap yang dipasang dengan panel skrin shoji yang benar-benar menonjolkan nilai estetika Jepun. 

Skrin shoji atau pintu gelangsar tradisional Jepun yang diperbuat daripada kertas lut sinar washi bersama bingkai kayu atau buluh berfungsi sebagai pembahagi ruang antara bilik dan memberi ruang privasi kepada tetamu.

 

TAMAN JEPUN

Secara tradisi, tetamu luar yang menginap di Kyoto State Guest House diraikan di Fuji-no-Ma iaitu bilik terbesar yang dindingnya dihiasi permaidani dengan gambar 39 jenis bunga serta ditenun menggunakan teknik tsuzure-ori, sekali gus menyuntik elemen megah pada ruang yang boleh memuatkan sehingga 120 orang pada satu-satu masa. 

pic-4

Menurut Mikami, fabrik permaidani berukuran 3.1 meter panjang dan 16.6 meter lebar itu dihasilkan oleh kira-kira 15 tukang tenun yang mengambil masa kira-kira setahun tujuh bulan untuk menyiapkan hasil seni istimewa ini.

Sebuah lagi ruang yang menarik ialah Kiri-no-Ma, iaitu bilik jamuan gaya Jepun dilengkapi 56 helai tikar tatami yang digunakan untuk menjamu tetamu kehormat dengan masakan asli Kyoto sambil menikmati permandangan Taman Jepun (Japanese Garden) dari tempat duduk mereka.

Para tetamu juga lazimnya akan dihiburkan dengan persembahan tarian klasik Jepun oleh Geisha yang cukup sinonim dengan negara itu, yang merujuk kepada sekumpulan penghibur wanita.

Kumpulan ini mengenakan busana tradisi Jepun iaitu kimono, kemasan sanggul yang didandan rapi, solekan tebal dengan bedak putih di seluruh muka serta gincu bibir berwarna merah terang. 

Di sekitar rumah tamu itu juga terdapat taman Jepun yang juga menjadi daya tarikan utama kerana menggabungkan tiga elemen semula jadi iaitu tanam-tanaman, batu dan air yang menyerlahkan keindahan dan memberikan suasana damai dan tenteram. 

pic-5

Terdapat pelbagai jenis pokok yang ada di situ termasuklah pain dan ceri, dihiasi batu kerikil asli, air terjun serta kolam besar yang menjadi ‘rumah’ bagi kira-kira 140 ikan koi pelbagai warna. 

Selain itu, terdapat sebuah jambatan untuk pengunjung merentasi kolam dan mereka juga boleh menggunakan sampan yang disediakan untuk menikmati seluruh pemandangan di kawasan sekitar. 

Lebih mengujakan, ketika melepasi jambatan pada waktu malam, pengunjung berpeluang melihat pantulan cahaya keemasan lembut dari pintu gelangsar kertas ke dalam kolam sekali gus menjadikan bangunan utama Kyoto State Guest House kelihatan seolah-olah terapung.

Mereka yang berhasrat mengunjungi Kyoto State Guest House boleh melayari https://www.geihinkan.go.jp/en/kyoto/visit/, untuk lawatan secara solo atau bersama pemandu pelancong yang akan memberi penerangan lebih lanjut berhubung rumah tamu berkenaan. 

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan