KUCHING, 11 Julai (Bernama) -- Kontinjen Sarawak mempunyai strategi sendiri untuk mencapai sasaran sekurang-kurangnya 70 pingat emas dalam misi memburu gelaran juara pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) bulan depan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak yang juga Ketua Kontinjen SUKMA Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu berkata beliau optimis mencapai sasaran itu sekali gus meraih gelaran juara kali keempat, pada edisi kali ini.
“Kita optimis dan itu memang menjadi harapan rakyat Sarawak dan hasrat Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) untuk menjadi juara tahun ini.
“Kita lihat secara realitinya 70 pingat emas itu memang boleh dapat. Kita sedang memperhalusi strategi kerana 488 acara (pada SUKMA) itu banyak, kalau tidak dapat menang peratusan yang besar kita tidak akan dapat jadi juara,” katanya pada sesi sesi temu bual khas bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini, baru-baru ini.
Delegasi Bernama diketuai oleh Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj dan Timbalan Editor Eksekutif Elmi Rizal Elias.
Semalam, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dilaporkan berkata Sarawak menyasarkan kutipan sekurang-kurangnya 70 pingat emas pada temasya SUKMA susulan maklum balas yang diterima beliau semasa sesi taklimat bersama Penolong Ketua Kontinjen (ACDM) Sarawak baru-baru ini.
Sarawak pernah muncul juara SUKMA pada edisi 1990, 1992 dan 1994.
SUKMA 2024 yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini, melibatkan sembilan bahagian di Sarawak iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.
Temasya kali ini menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai.
SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial