BALING, 11 Julai (Bernama) -- Pemergian kanak-kanak lelaki Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, selepas termakan makanan ringan disyaki mengandungi racun tikus, meninggalkan kesan mendalam terhadap bekas pengasuh kanak-kanak itu.
Siti Fadilah Hashim, 46, berkata dia tidak menyangka ketika mendapat tahu berita itu setelah lebih setahun tidak bersua dengan kanak-kanak berkenaan yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri.
"Saya menjaga arwah Akil sejak usianya enam bulan sehinggalah setahun lebih…selepas ibunya melahirkan adik Akil (Muhammad Luth Syauqi, 2) mereka berpindah tinggal bersama datuk dan nenek arwah.
"Ibunya bekerja (di kilang) jadi kebanyakkan masa Akil ada bersama saya dan lima lagi anak saya yang lain…semua rapat dengan Akil sampailah anak bongsu saya (perempuan) pun cemburu dengan Akil yang manja dengan saya," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan dekat sini, malam tadi.
Beliau turut menyifatkan Muhammad Akil Syauqi sebagai seorang kanak-kanak yang ceria, manja dan aktif.
"Dia panggil saya 'mama'…kali terakhir saya jumpa dengan arwah sewaktu Hari Raya Aidilfitri tahun lalu...sedih sangat...terkejut..memang tak sangka dia sudah tiada.
"Saya sempat ziarah jenazah arwah di hospital…nampak raut wajahnya tersenyum…saya harap adiknya, Muhammad Luth yang masih dirawat akan pulih," katanya.
Media sebelum ini melaporkan Muhammad Akil Syauqi dan adiknya Muhammad Luth Syauqi berada dalam keadaan kritikal selepas termakan makanan ringan disyaki mengandungi racun di kawasan kebun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, di sini Ahad lepas.
Kedua kanak-kanak itu dipercayai mengambil peket makanan ringan yang digantung di dawai besi pagar kebun oleh pemilik kebun berkenaan bagi memerangkap monyet.
Kejadian itu disedari ibu mereka pada pukul 11 pagi selepas melihat kedua-dua anaknya muntah dan kemudian kedua-duanya dibawa ke Klinik Kesihatan Malau sebelum di hantar ke Hospital Kulim, seterusnya dirujuk ke HPP.
Muhammad Akil Syauqi bagaimanapun meninggal dunia pada pukul 8.40 pagi semalam manakala adiknya masih dirawat di HPP dan dilaporkan masih belum sedar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial