Oleh Zaphne Philip
KUCHING, 11 Julai (Bernama) -- Penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 dari 17 hingga 24 Ogos di Sarawak mampu memanfaatkan industri hospitaliti serta usahawan kecil-kecilan, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Negeri Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau berkata tidak seperti penganjuran sebelum ini, SUKMA 2024 akan melibatkan sembilan bahagian di Sarawak terdiri daripada Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.
“Jika dibuat di Kuching sahaja, hanya orang di Kuching sahaja yang untung, bila dibuat di sembilan bahagian, bayangkan berapa ramai yang akan mendapat manfaat. Sedikit sebanyak keriangan dan kepuasan akan dirasai.
“Itulah salah satu sebab kenapa kita mahu jadi penganjur dan usaha agar setiap tempat yang menjadi tuan rumah mendapat manfaat, baik besar mahupun kecil, industri hospitaliti, hotel, pengangkutan, makanan, dan sebagainya semua akan mendapat imbuhan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berkata demikian pada sesi temu bual khas bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.
Abdul Karim berkata pada masa yang sama, penganjuran SUKMA juga mampu meningkatkan jumlah kehadiran pelancong ke Sarawak yang mungkin akan menjangkau angka lima juta pada penghujung tahun ini.
“Sasaran saya tahun ini ialah mencapai empat juta pelancong, dan saya yakin kita akan mencapai sasaran itu pada bulan September, dan pada Disember pula kita akan menjangkau jumlah tertinggi yang pernah dicapai pada tahun 2019 dengan kehadiran 4.2 juta pelancong.
“Saya tidak terkejut jika tahun ini mampu mencapai lima juta pelancong, tetapi cukup memadai jika kita melepasi sasaran empat juta yang saya rasa boleh dicapai menjelang September atau Oktober ini,” katanya.
Temasya SUKMA 2024 bakal menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain menghimpunkan 12,619 atlet dan pegawai.
SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali sebelum ini iaitu pada 1990 dan 2016.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial