AM

MYDIGITAL ID REKOD 465,924 PENGGUNA BERDAFTAR TERMASUK PENJAWAT AWAM SEHINGGA 10 JULAI - GOBIND

11/07/2024 03:23 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Sebanyak 465,924 pengguna termasuk penjawat awam telah mendaftar MyDigital ID sehingga pukul 5.30 petang semalam, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo. 

Beliau berkata bagi menggalakkan pendaftaran dalam kalangan penjawat awam, kios-kios pendaftaran MyDigital ID telah ditempatkan di 199 cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan lima cawangan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) seluruh negeri di Malaysia.

“Di samping itu MIMOS akan menyebarluaskan pelaksanaan MyDigital ID kepada pelbagai demografi rakyat Malaysia di bandar serta di luar bandar secara berfasa,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini. 

MIMOS Bhd selaku agensi strategik di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan sebagai agensi pelaksana bagi Projek Pembangunan MyDigital ID telah bekerjasama dengan pihak Kerajaan seperti JPN dan NADI di bawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Pelaksanaan MyDigital ID ialah salah satu prakarsa kerajaan bagi memudahkan, melancarkan dan merancakkan urusan dalam talian, terutamanya melibatkan aplikasi-aplikasi kerajaan dengan memastikan keselamatan dan kerahsiaan data peribadi individu terpelihara.

Buat masa ini MyDigital ID bukan satu kemestian atau mandatori kepada rakyat Malaysia, sebaliknya ia adalah satu pilihan yang akan diintegrasikan dengan pelbagai aplikasi kerajaan dan juga swasta.

Gobind berkata beberapa aplikasi kerajaan telah diintegrasikan oleh Pasukan MyDigital ID di bawah MyDigital ID antaranya dengan membangunkan use case dengan aplikasi mudah alih (mobile) Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS), aplikasi MySejahtera dan aplikasi mudah alih (mobile) MyJPJ.

“Integrasi MyDigital ID dengan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) pula sedang giat dijalankan dan dijangka siap pada bulan Ogos 2024.

“Dalam masa yang sama, perbincangan bagi pengintegrasian MyDigital ID dengan pihak swasta seperti sistem Touch n Go, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Akaun, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan sektor perbankan telah pun dimulakan,” katanya. 

Beliau berkata sebelum ini pasukan MyDigital ID juga telah mengadakan perbincangan dan sesi libat urus bersama Bank Negara Malaysia (BNM), syarikat penyedia perkhidmatan perbankan dan pemegang-pemegang taruh yang berkaitan bagi merancakkan serta memperluaskan penggunaan MyDigital ID dalam sektor perbankan dan urusan kewangan.

Kementerian Digital yakin bahawa apabila berlakunya integrasi MyDigital ID dengan aplikasi-aplikasi utama seperti myJPJ, PADU dan lain-lain aplikasi kerajaan serta swasta, ia akan melonjakkan lagi bilangan pengguna MyDigital ID. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) yang ingin mengetahui berapakah jumlah pengguna yang telah mendaftar MyDigital ID, apakah strategi kerajaan untuk menggalakkan pendaftaran dalam kalangan penjawat awam serta adakah terdapat perancangan Kerajaan untuk memperluaskan penggunaan MyDigital ID kepada sektor perbankan dan kewangan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan