KOTA KINABALU, 11 Julai (Bernama) -- Beberapa petugas di bangunan tinggi di pantai barat Sabah termasuk sekitar sini merasai gegaran antara 10 saat hingga seminit, dipercayai susulan kejadian gempa bumi kuat berukuran 6.6 pada skala Richter yang melanda Mindanao, Filipina, pada pukul 10.13 pagi tadi.
Pembantu Tadbir Evelyn Octavia, 38, yang bertugas di tingkat 32 di Menara Kinabalu di sini berkata gegaran yang dirasai sekitar pukul 10.15 pagi tadi pada awalnya tidak terlalu kuat, namun mengejutkan petugas di bangunan itu.
"Nampak cawan kopi saya beralih sedikit dan meja rasa bergegar dalam 10 saat, tapi tiada kerosakanlah, cuma rasa takut itu ada kerana kita pernah kena gempa yang kuat dulu 2015. Kami semua terus turun bawah dan keluar bangunan untuk berkumpul di luar," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Mohamad Alfian Adli, 27, yang bertugas di tingkat 15 Menara Tun Mustapha di sini berkata gegaran itu dirasai petugas di tingkat tinggi, namun tidak begitu dirasai sangat petugas di tingkat satu.
“Alhamdulillah tak lama, dan tidak libatkan sebarang kerosakan dan kecederaan," katanya.
Di TAWAU gegaran itu turut dirasai kakitangan persekutuan yang berada di tingkat tinggi bangunan Wisma Persekutuan.
Pegawai Farmasi Ooi Kah Geap, 45, berkata beliau merasa gegaran itu pada kira-kira 10.15 pagi tadi ketika dia berada di pejabatnya di tingkat tujuh bangunan itu.
"Gegaran pertama itu agak kuat dan selepas itu perlahan, gegaran itu dirasai kira-kira seminit. Ketika itu saya sedang duduk dan nampak air dalam cawan berkocak, rakan sepejabat dalam lapan orang juga menyedari gegaran ini," katanya.
Beliau berkata gegaran tadi pagi merupakan kejadian kali kedua dirasai selepas tahun 2022, namun gegaran pada hari ini adalah paling kuat dirasai selepas gempa bumi Sabah 2015.
Pengerusi Wisma Persekutuan Amir Kanje berkata Balai Bomba dan Penyelamat Tawau dihubungi pada 10.30 pagi selepas berlaku tiga gegaran dalam masa kira-kira seminit di bangunan itu.
"Saya juga membuat pengumunan agar semua warga wisma mengosongkan bangunan selepas gegaran ketiga. Rata-rata pekerja di tingkat lima hingga tujuh merasai gegaran tu, ketika ini bangunan ditutup dan akan dibuka semula pukul 2 petang," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial