AM

TERENGGANU LEPAS LEBIH 300,000 BENIH IKAN

11/07/2024 03:11 PM

DUNGUN, 11 Julai (Bernama) -- Lebih 300,000 benih ikan daripada pelbagai spesies dilepaskan ke lokasi terpilih seluruh negeri bermula Januari hingga Jun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu Dr Azman Ibrahim berkata pelepasan benih ikan itu dijalankan secara kerjasama antara pihaknya dan Jabatan Perikanan Terengganu bagi memperkaya sumber ikan dan stok perikanan nelayan darat.

Beliau berkata antara spesies ikan air tawar yang dilepaskan secara berperingkat ke sungai, tasik dan kolam termasuk kelah, patin, lampam, baung, haruan selain udang galah yang berkualiti tinggi.

"Untuk tahun ini kita sasar untuk lepaskan 500,000 benih ikan secara berperingkat melalui 16 siri program yang akan berakhir September nanti.

"Jumlah ini menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu iaitu sekitar 300,000 benih ikan," katanya selepas program Pelepasan 15,000 Benih Ikan Lampam oleh Golden Pharos Bhd ke Sungai Jongok Batu di Hulu Dungun, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu Ruzaidi Mamat dan Pengerusi Golden Pharos Bhd Datuk Yahaya Ali.

Azman berkata pelepasan benih ikan yang dijalankan di bawah program memperkayakan sumber perikanan darat telah memberi impak positif apabila jumlah pendaratan ikan air tawar didapati meningkat daripada 163 tan pada 2022 kepada 190 tan 2023.

Beliau berkata bagi merancakkan lagi sektor perikanan Terengganu, kerajaan negeri turut mewujudkan pusat santuari kelah di Lata Ulu Kasar, Setiu yang dikenali sebagai Santuari Ikan Sesohor Setiu.

“Selain menjadi tempat pembiakan ikan, santuari berkenaan juga boleh dijadikan tarikan pelancong, sekali gus menjana sumber ekonomi penduduk setempat.

"Santuari ini adalah yang kedua selepas santuari kelah di Sungai Petang, Tasik Kenyir. Kita dah lepas 700 benih ikan kelah merah berkualiti tinggi di santuari itu minggu lalu.

"Untuk projek seterusnya, kita merancang untuk mewujudkan santuari ikan di Lata Tembakah, Besut yang strategik lokasinya," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan