EKONOMI

MAJLIS PERNIAGAAN MALAYSIA-SINGAPURA BINCANG TEROKA PELUANG DI ZON EKONOMI KHAS

11/07/2024 05:48 PM

SINGAPURA, 11 Julai (Bernama) -- Mesyuarat Bersama Ke-25 Majlis Perniagaan Malaysia-Singapura (MSBC) hari ini membincangkan usaha untuk menggerakkan kepentingan bersama dan meneroka peluang baharu menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Mesyuarat itu yang dipengerusikan bersama oleh pengerusi eksekutif YCH Group Dr Robert Yap dan Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani N.Hassan Thani daripada Zaid Ibrahim & Co, turut melahirkan sokongan terhadap JS-SEZ dan menyokong komitmennya untuk meningkatkan hubungan ekonomi dua hala.

Yap berkata JS-SEZ bukan sahaja akan mengukuhkan kerjasama dan memacu pertumbuhan mampan antara Malaysia dan Singapura tetapi juga bakal meningkatkan daya saing serantau, mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi dan meningkatkan inovasi.

“Dengan memanfaatkan gabungan kekuatan kita dan memupuk sinergi rentas sempadan, kita akan membina landskap ekonomi yang berdaya tahan yang memberi manfaat kepada perniagaan dan komuniti, membuka jalan ke arah masa depan yang makmur dan saling berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat tersebut yang berlangsung di SBF Centre, di sini, hari ini

Nik Norzrul Thani berkata MSBC mengulangi sokongan padunya terhadap JS-SEZ sebagai pemacu pembangunan ekonomi dan kerjasama serantau.

“Kami percaya pada impak transformatif inisiatif ini dan komited untuk memupuk kerjasama ekonomi yang kukuh antara Malaysia dan Singapura,” katanya.

Antara perkara utama yang dibincangkan termasuklah perbincangan strategik untuk menggalakkan pertumbuhan mampan, memanfaatkan kemajuan teknologi terutamanya dalam urus niaga rentas sempadan untuk meningkatkan operasi perniagaan dan meluaskan akses pasaran untuk syarikat Malaysia dan Singapura.

Mesyuarat itu juga membincangkan cabaran bersama dalam landskap global dan terlibat dalam dialog membina bertujuan untuk mengukuhkan perkongsian dan hubungan perniagaan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

MSBC, yang ditubuhkan pada Julai 2004 untuk menggalakkan aktiviti perniagaan dan pelaburan antara Singapura dan Malaysia, terus berfungsi sebagai platform kerjasama yang berguna untuk komuniti perniagaan kedua-dua negara bagi memulakan projek yang saling menguntungkan dan meneroka peluang bersama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan