EKONOMI

Misi Perdagangan, Pelaburan Ke Vietnam Catat Potensi Eksport Rm3.3 Bilion - Miti

11/07/2024 05:31 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melaporkan misi perdagangan dan pelaburan tiga hari ke Vietnam dari 8-10 Julai, 2024 mencatatkan potensi eksport bernilai RM3.3 bilion. 

Misi itu diketuai oleh Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bersama pegawai-pegawai kanan daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Dalam satu kenyataan hari ini, Tengku Zafrul berkata misi itu berfungsi sebagai pemangkin untuk mengembangkan dan memulakan perkongsian strategik perniagaan ke perniagaan yang melibatkan entiti Malaysia dan Vietnam sambil mengukuhkan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.

“Kami gembira dengan potensi eksport RM3.3 bilion daripada misi ringkas kami ke Vietnam. Langkah seterusnya ialah untuk kami memastikan tindakan susulan bagi merealisasikan komitmen ini dengan cepat dan cekap untuk menyokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

MITI berkata sebanyak 14 syarikat Vietnam komited untuk penyumberan produk-produk Malaysia, termasuk elektrik dan elektronik, minyak sawit, bahan kimia dan petrokimia, besi dan keluli, makanan dan minuman, serta barangan pengguna yang boleh dijual dengan pantas tanpa kos tinggi.

“Hasil menggalakkan ini telah dipermudahkan oleh MATRADE yang mencerminkan momentum yang semakin meningkat dalam hubungan ekonomi antara Malaysia dan Vietnam, menekankan peluang yang saling menguntungkan untuk komuniti perniagaan di kedua-dua negara,” katanya.

Semasa misi perdagangan berkenaan, Tengku Zafrul turut bertemu dengan Perdana Menteri Vietnam Phạm Minh Chính; Menteri Perancangan dan Pelaburan Nguyen Chi Dzung dan Menteri Perindustrian dan Perdagangan Nguyen Hong Dien.

Pertemuan itu dibantu oleh Perwakilan Malaysia di Hanoi, yang diketuai oleh Duta Besar Malaysia ke Vietnam Datuk Tan Yang Thai, kata MITI.

Tengku Zafrul dan Nguyen Hong Dien turut mempengerusikan bersama Mesyuarat Keempat Jawatankuasa Perdagangan Bersama Malaysia-Vietnam (JTC keempat) di Hanoi pada 9 Julai, selepas Mesyuarat Pegawai Kanan pada 8 Julai.

“JTC keempat memberi tumpuan kepada memajukan hubungan ekonomi Malaysia-Vietnam, termasuk kerjasama dalam industri Halal, yang mana Malaysia akan membantu Vietnam dalam piawaian Halal, penilaian pematuhan dan akreditasi.

“Mesyuarat itu juga membincangkan kemungkinan kerjasama dalam ekonomi hijau, seperti dalam sektor kenderaan elektrik di antara Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia dan rakan kongsi berpotensi daripada sektor awam dan swasta Vietnam; serta tenaga boleh baharu, terutamanya kuasa angin luar pesisir dan darat,” katanya.

Kedua-dua pihak juga membincangkan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025.

"Vietnam menyatakan sokongannya kepada Malaysia dalam memacu usaha integrasi ekonomi ASEAN ke tahap yang lebih tinggi melalui Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) di bawah Malaysia sebagai pengerusi," tambahnya.

Tahun lepas, Vietnam ialah rakan dagangan ke-11 terbesar Malaysia manakala Malaysia ialah rakan dagangan ke-10 terbesar Vietnam di peringkat global, dengan jumlah dagangan bernilai US$17.38 bilion (RM79.42 bilion).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan