AM

JABATAN HIDUPAN LIAR KESAN KEHADIRAN KAWANAN GAJAH DI KALABAKAN

11/07/2024 05:40 PM

KALABAKAN, 11 Julai (Bernama) -- Jabatan Hidupan Liar mengesan kehadiran kira-kira 30 ke 40 ekor gajah di kawasan ladang sawit antara Ladang Cenderamata dan Ladang Dumpas, berhadapan Felda Umas di sini.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar Tawau Primus Lambut berkata pihaknya menerima aduan kehadiran gajah itu sejak 1 Julai lepas dan ke lokasi bagi memastikan kawasan itu terkawal untuk mengelakkan provokasi orang awam.

"Kehadiran gajah-gajah ini perkara biasa ketika chipping iaitu proses pokok sawit yang tua diracik bagi penanaman semula...gajah akan datang makan umbut kelapa sawit," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pada masa ini pihaknya memastikan gajah-gajah berkenaan bergerak ke kawasan koridor hidupan liar Sabah Softwoods Berhad (SSB) di Brumas di sini.

"Ada gajah yang sudah bergerak ke kawasan lain dan ada yang masih berada di kawasan itu," katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang provokasi sekiranya terserempak dengan kumpulan mamalia itu.

Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 16 saat di media sosial yang memaparkan kawanan gajah berada di kawasan ladang bagi mencari makanan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan