AM

Projek Kssa Tidak Libat Pertukaran Tanah Di Pulau Carey - Mb Selangor

11/07/2024 07:28 PM

SHAH ALAM, 11 Julai (Bernama) -- Projek pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) di Seksyen 13 tidak akan melibatkan pertukaran tanah seluas 1,227 hektar di Pulau Carey, Kuala Langat milik Yayasan Selangor.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata tanah itu akan digunakan bagi pembangunan Pelabuhan Pulau Carey yang dipertanggungjawabkan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

"Saya ingin tegaskan tanah itu tidak akan digunakan bagi pindah milik atau kaedah penukaran tanah bagi pembinaan KSSA. 

"Tanah-tanah (Yayasan Selangor) akan dijadikan capital kerajaan negeri untuk memegang minimum sebanyak 20 peratus kepada usaha (pembangunan) dan juga operasi pelabuhan ketiga tersebut,” katanya dalam sesi Penggulungan Perbahasan Usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama (RS-1) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Amirudin menjawab pertanyaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PN-Hulu Kelang) yang membangkitkan perkara itu dalam sesi perbahasan pada 4 Julai lepas dengan mendakwa pembangunan KSSA dibiayai oleh pertukaran tujuh lot tanah seluas 1,277 hektar tanah di Pulau Carey.

Dalam pada itu, Amirudin berkata kerajaan negeri mempunyai tempoh setahun dari bermulanya perobohan Stadium Shah Alam untuk mengenal pasti tanah dipindah milik bagi kos pembinaan KSSA dengan tanah di Kuala Langat dan Hulu Selangor berpotensi disenarai pendek bagi penukaran tanah. 

Beliau berkata perkara itu sedang dibincangkan antara Setiausaha Kerajaan Negeri yang mewakili Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dengan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) selaku pemaju projek.

Dalam hal sama, Amirudin berkata tempoh setahun yang ditetapkan bagi perobohan Stadium Shah Alam itu adalah mengikut terma ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan memandangkan Seksyen 13 adalah kawasan perniagaan dan perumahan. 

Beliau berkata pencemaran bunyi akibat kerja-kerja perobohan itu tidak boleh melebihi tujuh desibel menerusi kaedah konvensional digunakan bagi proses berkenaan. 

Amirudin berkata sebahagian aset Stadium Shah Alam seperti runtuhan batu bata juga akan digunakan semula untuk beberapa tujuan yang telah dikenal pasti termasuk menangani hakisan tanah.

“Kerusi-kerusi masih baik pula akan diberikan kepada stadium lain seperti di Sabak Bernam, Sungai Besar dan Selayang bagi menggantikan tempat duduk simen yang digunakan ketika ini," katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan