SHAH ALAM, 19 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 yang dibentangkan semalam memberi impak yang sangat signifikan kepada negeri Selangor, khususnya terhadap sektor ekonomi, pembangunan infrastruktur dan kesejahteraan rakyat.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata peruntukan bagi Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2 dan pembesaran Pelabuhan Klang merupakan antara khabar baik atau ‘buah tangan’ yang sangat dinantikan kerajaan negeri dan rakyat amnya.
Beliau berkata pembesaran Pelabuhan Klang cukup signifikan ke arah mencapai aspirasi menjadi satu daripada 10 pelabuhan terbaik dunia sekali gus merancakkan lagi industri kargo dan sektor ekonomi di negeri itu.
“Langkah ini adalah penting bagi mempertingkatkan keselamatan dan daya saing negeri Selangor di peringkat global,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Amirudin turut menghargai pengumuman kerajaan berhubung pelaburan dalam tenaga hijau yang disifatkannya seiring dengan visi Selangor untuk menjadi negeri yang mampan dan berdaya tahan.
Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 antara lain mengumumkan pembinaan dan menaik taraf jalan Lingkaran Pulau Indah dan Pelabuhan Utara dengan sejumlah RM107 juta diperuntukkan bagi memastikan projek tersebut berjalan lancar sekali gus memacu sektor logistik negara.
“Sebagai Menteri Besar Selangor, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri atas pembentangan Belanjawan MADANI 2025 yang membawa khabar baik untuk negeri Selangor dan Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial