EKONOMI

Shopee Video Bantu Tingkat Pengalaman Membeli-belah Pengguna

12/07/2024 02:12 PM

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Platform e-dagang terkemuka Shopee melancarkan ciri baharu Shopee Video yang boleh membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam industri fesyen meningkatkan pengalaman membeli-belah lebih menarik dan menghiburkan kepada pengguna tempatan.

Ciri baharu itu mengetengahkan ulasan dan cadangan "word-of-mouth positif" selain dapat meningkatkan kesedaran serta minat terhadap kedai serta produk mereka.

“Inisiatif baharu ini menunjukkan dedikasi Shopee kepada penjual dan pengguna serta kemampuannya untuk memenuhi keperluan mereka yang semakin berkembang.

“Alat yang membantu meningkatkan pengalaman membeli-belah seperti ciri strim langsung menawarkan potensi besar buat penjual untuk menarik perhatian pembeli dalam talian di samping penilaian dan ulasan yang baik dapat memacu pertumbuhan, seterusnya membantu mewujudkan pangkalan pelanggan yang setia,” menurut kenyataan Shopee di sini hari ini. 

Pengarah KM Fashion Center Cris Low turut berkongsi kejayaan perniagaan melalui perkhidmatan pelanggan yang bergantung sepenuhnya dengan ciri interaktif Shopee seperti Shopee Live dan Shopee Chat.

“Di samping itu, penggunaan alat analitik Shopee membolehkan mereka menyusun pilihan koleksi mereka agar selaras dengan keutamaan pelanggan selain menawarkan pelbagai pilihan produk yang sesuai dengan cita rasa pembeli.

"Shopee memainkan peranan penting dalam memudahkan perhubungan langsung dengan pelanggan kami. Shopee Live membolehkan kami mempamerkan rekaan pakaian terkini dan membantu meningkatkan keterlihatan jenama dan jualan kami secara ketara,” katanya yang mempunyai kedai di Teluk Intan, Perak.

Selain itu, Pengurus Tudung Exclusive Muhammad Abdullah turut berkongsi kejayaan apabila memperoleh ulasan dan penilaian positif selepas empat tahun di dalam industri pakaian elegan dan sopan.

“Jenama ini memperkasakan wanita muda dengan pakaian yang elegan dan sopan selain meraih lebih 75,000 pengikut serta mendapat penilaian bintang 4.9 yang mengagumkan.

"Ulasan dan penilaian positif bukan sahaja mengesahkan dedikasi kami terhadap kecemerlangan tetapi juga menguatkan semangat kami untuk terus berusaha menawarkan tudung berkualiti tinggi, versatil dan berpatutan kepada pelanggan," katanya.

Menurut kajian yang dilakukan Shopee, ulasan dan penilaian memainkan peranan penting dalam meningkatkan jualan serta membina kepercayaan dengan pelanggan berpotensi, manakala foto dan video produk pengguna secara efektif boleh menangani kebimbangan pembeli.

Dapatan kaji selidik ‘Masa Depan Membeli-belah’ Shopee yang dijalankan oleh Kantar Profiles, sebanyak 19 peratus responden Gen Z mengutamakan 'jenama yang sangat disyorkan’, manakala 27 peratus responden pula bergantung pada ulasan, demonstrasi dan sokongan semasa membuat keputusan pembelian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan