EKONOMI

RHB BANK LAKSANA TRANSFORMASI DIGITAL MENERUSI INISIATIF PERBANKAN DALAM TALIAN

12/07/2024 06:46 PM

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- RHB Bank Bhd melaksanakan transformasi digital dengan menambah model jualan dan pengedaran cawangannya dengan pemerolehan digital dalam talian dan perkongsian perbankan terbuka.

“Kami juga beroperasi secara dalam talian dan luar talian,” kata Pengarah Urusan Perbankan Komuniti Kumpulan Jeffrey Ng dalam ucapannya di Persidangan Peruncitan anjuran Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) di sini hari ini.

Beliau berkata platform perbankan mudah alih bank itu adalah aset kritikal, berperanan sebagai alat untuk perbankan asas dan sebagai alat komunikasi utama, dompet, penjana jualan dan penyedia perkhidmatan.

"Kami secara berterusan merekayasa semula proses sedia ada kami untuk membolehkan pelanggan melakukan urus niaga tanpa pergi cawangan kami. Bagi mereka yang memilih untuk pergi ke cawangan secara fizikal, kami menyasarkan untuk menyediakan proses yang lancar dan mudah," katanya.

Beliau menekankan peranan penting yang dimainkan oleh institusi kewangan dalam pertumbuhan sektor borong, peruncitan dan perkhidmatan di Malaysia.

"Selain memastikan bekalan pembiayaan yang sihat untuk perniagaan, bank mesti menyediakan pendidikan secara berterusan dan memacu penggunaan trend dan inovasi dalam industri.

"Institusi kewangan perlu berinovasi secara digital dengan rakan kongsi teknologi yang berbeza untuk menawarkan penyelesaian pembayaran, operasi dan pembiayaan yang lancar dan bersepadu," katanya.

Sementara itu, mengenai trend tingkah laku pengguna, Ng menyatakan bahawa sentimen mungkin kekal rendah berikutan tekanan inflasi yang meningkat dan rasionalisasi subsidi petrol.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan pasaran pekerjaan yang positif dan bantuan oleh kerajaan secara berterusan mungkin akan menyokong keseluruhan perbelanjaan pengguna dan permintaan untuk keperluan makanan ruji (makanan harian utama), katanya.

Selain itu, pengenalan Akaun 3 (Akaun Fleksibel) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pemulihan kukuh dalam pelancongan akan memberi kesan positif kepada keseluruhan sektor runcit," tambahnya.

--BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan