EKONOMI

RHB OPTIMIS PROSPEK SEKTOR PEMBUATAN DISOKONG PENINGKATAN SELERA PELABURAN

12/07/2024 06:55 PM

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- RHB Investment Bank Bhd menyatakan keyakinan terhadap prospek sektor pembuatan Malaysia, memandangkan landskap ekonomi global dan domestik yang lebih cerah serta peningkatan dalam selera pelaburan.

Bank pelaburan itu turut menyebut bahawa perkembangan yang berterusan dalam ekonomi China yang positif serta jualan semikonduktor yang teguh, mengukuhkan unjuran positif sektor pembuatan dan perdagangan Malaysia. 

"Selanjutnya, kami kekal yakin dengan persekitaran luaran ASEAN bagi suku ketiga 2024, dengan mengandaikan berlakunya peningkatan pertumbuhan Amerika Syarikat (AS) dan China dalam tempoh tersebut.

“Oleh itu, pertumbuhan Malaysia berkemungkinan akan terus disokong oleh industri yang berfokuskan luaran, khususnya sektor pembuatan dan perdagangan,” katanya dalam satu nota hari ini.

Nota penyelidikan itu juga menekankan bahawa aktiviti sektor pembuatan Malaysia akan dirangsang oleh daya tahan dalam industri berorientasikan eksport di samping pemulihan dalam prestasi perdagangan.

“Momentum eksport elektrik dan elektronik (E&E) menunjukkan tanda-tanda peningkatan yang mampan dalam lima bulan pertama tahun ini, dan kami menjangkakan eksport E&E kekal disokong dengan permintaan global yang kukuh,” katanya.

Bank itu juga menyatakan bahawa sektor berasaskan komoditi seperti petroleum, produk berasaskan petroleum, dan produk mineral bukan logam dan logam dijangka mendapat manfaat daripada harga komoditi yang lebih tinggi.

Selain itu, momentum indeks pengeluaran industri kekal positif untuk bulan Mei, disokong oleh pengukuhan berterusan industri berorientasikan eksport dan pengembangan dalam industri berorientasikan dalam negeri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan