AM

PM Mahu Tindakan Tegas Diambil Terhadap Kes Babitkan Buli Siber - Fahmi

12/07/2024 07:10 PM

PUTRAJAYA, 12 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap kes membabitkan buli siber, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata Perdana Menteri menzahirkan rasa kecewa dalam kes buli siber yang membawa kepada kematian seorang pempengaruh TikTok baru-baru ini.

“Perdana Menteri telah menyatakan rasa cukup tidak puas hati beliau terhadap kejadian-kejadian buli siber dan beliau telah meminta supaya pihak MCMC dan PDRM mengambil tindakan yang sangat tegas.

“Kita perlu berusaha untuk menghentikan buli siber daripada berterusan,” katanya pada sidang media pascamesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Fahmi berkata beliau telah berhubung dengan pihak TikTok dan meminta mereka bertanggungjawab atas insiden itu.

“Mereka bersedia untuk memberikan kerjasama yang erat dan baik kepada pihak Kementerian Komunikasi untuk mengatasi masalah ini dan mereka akan bertemu dengan kami minggu depan,” katanya sambil menambah MCMC dan PDRM juga bersetuju untuk meneliti serta memudahkan proses membuat laporan oleh pengadu berhubung isu buli siber.

Fahmi berkata dalam usaha menangani masalah buli siber di platform media sosial, Kementerian Komunikasi akan meneliti pindaan undang-undang sedia ada di bawah Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selain undang-undang lain yang berkaitan.

Beliau berkata pihaknya juga akan meneliti jika terdapat keperluan bagi mewujudkan atau menggubal akta baharu khusus untuk buli siber.

“Sebelum ini pernah diadakan kaji selidik mengenai isu buli siber namun ia tidak diteruskan oleh kerajaan terdahulu.

“Saya telah menerima maklum balas daripada pihak Kementerian Komunikasi bahagian dasar bahawa laporan itu ada dan kita akan teliti semula... kita akan lihat sama ada sesuai untuk kita bawa semula ke Parlimen atau perlu penambahbaikan,” katanya.

Fahmi berkata pihaknya juga akan meneliti kaedah untuk mengurangkan akaun palsu terutama yang disalah guna bagi tujuan melakukan buli siber.

“Jadi ramai yang berpandangan kalau kita guna akaun palsu maka kita boleh katakan apa sahaja kepada sesiapa yang kita inginkan tanpa perlu berdepan sebarang kesan negatif. 

“Jadi akhirnya yang kita lihat insiden paling ekstrem adalah apa yang berlaku baru-baru ini,” katanya merujuk kepada insiden seorang pempengaruh TikTok yang didakwa membunuh diri selepas tertekan akibat buli siber.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan