POLITIK

KEPUTUSAN YANG DIPERTUA DEWAN RAKYAT BUKAN DIDORONG KERAJAAN - MOHAMED KHALED

13/07/2024 02:05 PM

MACHANG, 13 Julai (Bernama) -- Keputusan mengekalkan kedudukan enam bekas ahli Parlimen Bersatu oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul tidak didorong oleh mana-mana pihak, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menteri Pertahanan itu sebaliknya menjelaskan Yang Dipertua Dewan Rakyat boleh membuat keputusan sendiri berdasarkan kuasa yang dimilikinya, selain institusi Parlimen tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak. 

"Pembangkang berhak menyuarakan pandangan mereka, tetapi pada masa sama perlu memahami keputusan yang dibuat Yang Dipertua Dewan Rakyat mengekalkan kedudukan enam bekas ahli Bersatu yang memberi sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Machang 2024 di Pusat Transformasi Ilmu Bukit Tiu, di sini malam tadi.

Khamis lepas Johari memaklumkan keputusan tidak mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen bekas ahli Bersatu selepas mengkaji semua perkara dan perkara itu telah dimaklumkan kepada Ketua Whip Bersatu Datuk Seri Ronald Kiandee melalui sepucuk surat bertarikh 9 Julai.

Pada 20 Jun lepas, Bersatu mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat meminta supaya enam kerusi Parlimen wakil rakyatnya yang sebelum ini menyokong Perdana Menteri dikosongkan.

Notis itu dikemukakan berdasarkan peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan, iaitu seseorang ahli Dewan Rakyat hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan dan kerusinya menjadi kosong apabila tidak lagi menjadi anggota parti politik.

Enam Ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan