AM

Pekerja Asing Maut Terjatuh Dari Bumbung

13/07/2024 03:06 PM

BUTTERWORTH,  13 Julai (Bernama) -- Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang mengeluarkan notis pemberhentian serta-merta kerja-kerja pembaikan alang dan bumbung di sebuah kilang pembuatan di Perai, di sini susulan seorang pekerja maut terjatuh dari bumbung di situ, Khamis lepas.

Pengarah JKKP Pulau Pinang Hairozie Asri berkata dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu, mangsa iaitu pekerja warga asing sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan alang dan bumbung di kilang itu sebelum terjatuh dari ketinggian 12 meter ke lantai.

"Sebaik terjatuh dari bumbung, lelaki berusia 29 tahun itu terus dikejarkan ke hospital dan dia dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di situ pada hari yang sama.

"Siasatan awal mendapati mangsa merupakan pekerja kontraktor yang dilantik oleh kilang itu untuk menjalankan kerja-kerja berkenaan dan sebelum kejadian, dia bersama tiga orang pekerja lain sedang melakukan kerja-kerja mengetatkan nat pada alang besi di kawasan kemalangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata berikutan kejadian itu, sepasukan pegawai penyiasat dari JKKP Pulau Pinang telah ke lokasi bagi menjalankan siasatan dan pihaknya mengeluarkan notis pemberhentian serta-merta kerja-kerja di kawasan itu sehingga siasatan selesai dijalankan.

Hairozie berkata JKKP Pulau Pinang juga telah mengarahkan majikan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan serta membuat pembentangan kes kepada pihaknya.

Beliau berkata JKKP Pulau Pinang akan menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan dan merakam percakapan dalam pemeriksaan bagi saksi yang dikenal pasti serta lawatan susulan ke premis majikan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil.

"Adalah menjadi tanggungjawab majikan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja kerana majikan yang mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, perlu membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum sebarang aktiviti dijalankan.

“Ini bagi menghapuskan  atau mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan semasa aktiviti kerja dijalankan. katanya.

“JKKP Pulau Pinang  memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan berpunca daripada aktiviti pekerjaan di semua sektor serta pihaknya sentiasa komited untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan