MELAKA, 13 Julai (Bernama) -- Melaka menjadi negeri perintis konsep gamifikasi berteraskan inovasi dan interaktif pada Karnival Kerjaya MyFutureJobs Melaka Careertrans 2024 yang berlangsung dua hari bermula hari ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini.
Pengerusi Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Datuk Seri Subahan Kamal berkata buat permulaan enam syarikat atau majikan terlibat dalam sesi temu duga menggunakan konsep gamifikasi berkenaan antaranya CTRM Aero Composites Sdn Bhd dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Beliau berkata konsep gamifikasi tersebut diaplikasikan kepada setiap pencari kerja pada sesi temu duga selaras dengan revolusi industri 5.0 yang menekankan kolaborasi manusia dan robot, penyesuaian fenomena dan sistem kognitif.
"Kecanggihan ini mendorong kami untuk berdiri sejalur dengan peralihan revolusi dan mencetuskan idea stesen gamifikasi sebagai satu daripada teknik saringan dalam sesi temu duga yang lebih menyeronokkan dan sesuai dengan generasi milenial.
"Pemilihan Melaka sebagai negeri perintis konsep gamifikasi ekoran fokus kerajaan negeri yang aktif menarik kedatangan pelabur ke negeri itu sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan khususnya dalam pelbagai industri," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Karnival Kerjaya MyFutureJobs Melaka Careertrans 2024 di sini hari ini.
Karnival yang menawarkan lebih 3,000 kekosongan jawatan dalam pelbagai sektor melibatkan 40 majikan itu dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan turut dihadiri Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Siti Faizah Abd Azis.
Mengulas lanjut, Subahan berkata temu duga berkonsepkan gamifikasi itu melibatkan dua stesen iaitu A dan B yang perlu dilalui pencari kerja dengan stesen A merupakan ‘brainy challenge’ melibatkan saringan kognitif menerusi kaedah permainan video mengikut kategori memori, fokus dan proses kelajuan otak berfikir.
Beliau berkata stesen B pula ujian kerjasama berkumpulan menerusi permainan 'block builder', 'mini squash' dan 'blind shooter' yang perlu diselesaikan dalam tempoh masa ditetapkan.
"Kaedah gamifikasi ini bukan sahaja dapat menjamin konsistensi penilaian calon temu duga dan mengurangkan kesilapan manusia oleh penilai temu duga, namun ia juga dapat memberi manfaat kepada calon temu duga untuk mengetahui tahap kekuatan dan kekurangan masing-masing menerusi keputusan permainan video terlibat.
"Justeru, penggunaan konsep gamifikasi berkenaan akan diperluaskan pada karnival kerjaya yang akan dianjurkan di negeri lain pada masa hadapan," katanya.
Terdahulu, beliau berkata berdasarkan statistik Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs hingga Jun lepas, sebanyak 110,003 jawatan kosong ditawarkan di seluruh negara dan dalam tempoh sama 78,109 pencari kerja mendapat penempatan pekerjaan.
Sementara itu, Ab Rauf berkata berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia kadar pengangguran negeri Melaka bagi suku tahun pertama tahun ini ialah 2.2 peratus, lebih rendah berbanding kadar nasional iaitu 3.3 peratus.
"Isu kebolehpasaran siswazah dan persaingan pekerjaan yang kompetitif masa kini sering kali menjadi topik perbincangan dalam landskap dunia pekerjaan.
“Justeru, kerajaan negeri optimis dalam meningkatkan pembangunan ekonomi yang komprehensif serta mampan dengan memberi penekanan ke arah membangunkan Melaka sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial