SUKAN

Sukma: Pasukan Sepak Takraw N.sembilan Optimis Bawa Pulang Pingat

14/07/2024 10:53 AM

SEREMBAN, 14 Julai (Bernama) -- Pasukan Sepak Takraw Negeri Sembilan optimis mampu melakar kejayaan dengan membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak bulan depan.

Jurulatih Mohd Syazwan Salehan berkata sasaran itu dilihat realistik meskipun mempertaruhkan pemain muda yang kali pertama bakal beraksi di temasya itu berdasarkan prestasi dan disiplin ditunjukkan mereka sepanjang latihan sejak Januari.

“Kita sertai empat acara iaitu berpasukan, regu, quadrant dan double, sasaran kita adalah bagi kategori double dan quadrant (sumbang pingat), memang kita sasar sekurang-kurang gangsa tapi kalau boleh lebih, rezeki ke final, insya-Allah perak atau emas, kita tak mahu balik dengan tangan kosong.

“Ini adalah pengalaman pertama bagi kesemua 14 pemain dan mereka merupakan projek jangka panjang kita iaitu 2026 hingga 2028...rata-rata boleh bermain untuk tiga kali SUKMA lagi, paling muda berusia 16 tahun dan paling tua 19 tahun,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini semalam.

Jurulatih berusia 33 tahun yang juga bekas pemain takraw Negeri Sembilan itu berkata anak buahnya sebelum ini telah didedahkan dengan kejohanan bertaraf kebangsaan termasuk Kejohanan Piala Presiden Johor bawah 21 tahun dan Kejohanan Sepak Takraw Pesenang bawah 21 tahun.

Mengenai latihan, Mohd Syazwan berkata penekanan kini diberikan kepada teknik, latih tubi dan taktikal serta mengelakkan latihan ‘keras’ untuk mengelakkan kecederaan.

“Kita juga lakukan latihan dengan dibantu bekas pemain kebangsaan iaitu Hairul Hazizi Haidzir dan Mohd Syazreen Qamar Salehan. Jadi saya harap pemain memberikan persembahan baik, ini juga platform yang boleh melonjakkan diri ke peringkat lebih tinggi seperti Liga Sepak Takraw (STL),” katanya sambil menambah Terengganu dan Pulau Pinang merupakan antara pencabar utama.

Sementara itu, kapten pasukan Mohd Fikri Abd Latif, 19, mengakui sedikit gementar menghadapi temasya berkenaan berikutan kurang berpengalaman berbanding pasukan lain namun yakin mereka mampu memberikan tentangan.

SUKMA 2024 dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini melibatkan sembilan bahagian di Sarawak iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan