AM

USAHAWAN WANITA ATASI CABARAN PERKENAL POKOK BUAH MALAYSIA DI NEW ZEALAND

14/07/2024 10:57 AM

Oleh V. Sankara

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Pengalaman Rosmawati Eusoff, seorang usahawan dari Pulau Pinang yang mencipta kejayaan di New Zealand, boleh dijadikan inspirasi oleh usahawan Malaysia yang lain. 

Berpangkalan di Auckland, Ketua Pegawai Eksekutif Exotica NZ - perniagaan dalam talian yang membekalkan anak pokok buah-buahan Malaysia dan barangan berkaitan ke seluruh New Zealand - berkata minatnya dalam menanam pokok yang dilihat sebagai eksotik dan jarang ditemukan di negara itu berkembang semasa penularan pandemik COVID-19.   

Kini, usaha itu menjadi satu perniagaan yang berjaya dan begitu popular dalam kalangan peminat tumbuhan di New Zealand serta negara lain - semuanya kerana beliau bijak memanfaatkan media sosial.   

Antara pencapaian besar beliau adalah memperoleh permit import bahan berkaitan nanas MD2 serta pokok hidup dari Malaysia ke New Zealand, satu kejayaan yang harus dibanggakan kerana piawaian import tumbuhan negara itu antara paling ketat di dunia.

Kerjasama beliau dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia mempermudah usahanya memperkenalkan pokok nanas MD2, rambutan dan manggis di pasaran New Zealand. 

Pada 2022, Rosmawati memperkenalkan Calina Papaya IPB9 - varieti betik sekaki yang dihasilkan oleh Institut Pertanian Bogor, Indonesia namun popular di Malaysia - kepada New Zealand. 

Rosmawati memberitahu Bernama, produk pertanian Malaysia antara yang terbaik di dunia, dan beliau komited memperkenalkan kesemua produk terbabit ke seluruh dunia.

"Sudah tiba masa kita bersaing secara terbuka dan diiktiraf, kerana produk kita setanding dengan keluaran Thailand, Vietnam, Filipina serta Indonesia," katanya, menambah beliau mengekalkan nama Melayu pokok-pokok yang diimport dari Malaysia seperti  pisang mas, mangga susu, durian musang king, nanas MD2 serta pisang raja.

Rosmawati ke New Zealand pada lewat 1990-an bagi menyambung pengajian, dan selepas tamat belajar beliau berkahwin serta memulakan hidup baharu di negara itu.

Bagaimanapun perkahwinannya tidak dapat bertahan, dan selepas bercerai ibu tunggal kepada dua anak istimewa itu mengambil langkah berani memulakan Exotica NZ dan mengatasi pelbagai cabaran getir yang mendatang dengan penuh kecekalan. 

Komitmennya terhadap kualiti terbaik membolehkan beliau membina reputasi yang baik dalam industri hortikultur New Zealand.  Beliau juga bekerjasama dengan Kementerian Perusahaan Utama New Zealand bagi memastikan produknya tidak mendatangkan risiko biodiversiti.

Rosmawati turut menekankan bahawa di New Zealand, keutamaan diberi berlandaskan usaha keras serta meritokrasi.

“Di sini, anda tidak diberikan keistimewaan berdasarkan siapa (status) anda. Jika anda berusaha dan bagus dalam usaha itu, anda akan beroleh kejayaan. Saya berusaha dan saya berjaya, hanya semudah itu,” tegasnya yang melihat kejayaannya itu disumbangkan oleh persekitaran berasaskan merit yang membolehkan beliau berkembang tanpa bantuan kerajaan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perniagaan New Zealand-Malaysia Dave Ananth memuji kekuatan dan ketabahan Rosmawati.

Katanya, kisah kejayaan wanita itu dan juga lain-lain usahawan Malaysia, harus dikongsikan bagi memberi inspirasi kepada yang lain. 

Mengambil contoh usaha Rosmawati memperkenalkan pokok rambutan dan manggis di pasaran New Zealand pada 2023, Dave berkata Exotica NZ merupakan syarikat pertama dalam tempoh 30 tahun yang berjaya “melepasi syarat ketat Kementerian Perusahaan Utama New Zealand.”  

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan