SUKAN

Sukma: Kontinjen Perak Dalam Persiapan Terakhir

14/07/2024 02:43 PM

MANJUNG, 14 Julai (Bernama) -- Kontinjen Perak kini dalam persiapan terakhir bagi menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 yang bakal berlangsung bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata kesemua atlet sudah berada pada fasa memperincikan strategi bagi membolehkan mereka menyumbang pingat emas. 

"Kita kini dalam fasa akhir persiapan malah latihan intensif akhir sekarang lebih kepada soal memantapkan semangat sepasukan dan pengukuhan kerohanian dalam kalangan atlet.

"Hasil daripada 'terjahan' yang dilakukan terhadap persiapan pasukan setakat ini amat positif dan kita juga terapkan dari segi kerohanian kepada atlet untuk sentiasa mempunyai jiwa yang kuat bersaing demi negeri," katanya dalam sidang media di sini hari ini

Beliau berkata demikian selepas melancarkan program Lantern Night Run di Kompleks Jeti Marina Island yang turut dihadiri Orang Besar Jajahan (OBJ) Manjung Datuk Shaharudin Nazari dan Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham.

Khairudin berkata seramai 828 atlet membabitkan 512 lelaki dan 316 wanita akan berlepas ke Bumi Kenyalang secara berperingkat mengikut jadual yang disusun pasukan masing-masing.

"Paling awal ialah pasukan perahu layar akan berlepas ke sana (Sarawak) pada 5 Ogos bagi penyesuaian 'gelanggang' di Miri dan kelompok besar akan bergerak serta berada di Sarawak sebelum 17 Ogos ini. 

"Kita juga menasihati atlet kita untuk menjaga kesihatan dan keselamatan ketika latihan akhir ini kerana ia langkah penting bagi memastikan mereka tidak cedera sebelum bermulanya temasya SUKMA," katanya. 

SUKMA 2024 menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita; yang bakal berlangsung di sembilan bahagian di Sarawak iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Sementara itu, mengenai Lantern Night Run, Shaharudin yang juga Pengerusi Persatuan Minda Sihat Manjung (PMSM) berkata penganjuran julung kali acara tersebut pada waktu malam mendapat sambutan meriah dengan penyertaan hampir 2, 000 peserta daripada pelbagai latar belakang dan peringkat usia.

"PMSM dengan kerjasama Kompleks Jeti Marina Island setiap tahun telah menganjurkan program yang berkonsepkan larian santai sejauh 5 kilometer bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat dan berorientasi riadah bersama keluarga.

"Tahun ini kita buat kelainan iaitu pada sebelah malam, ingatkan tiada sambutan namun jumlah yang hadir sebagai peserta pada saat akhir pun melebihi 400 orang dan ini salah satu usaha kita membudayakan amalan hidup sihat melalui sukan untuk semua," katanya. 

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan