AM

PENYASARAN DIESEL: SUBSIDI TAMBAHAN RM100 JUTA UNTUK FELDA - PM ANWAR

14/07/2024 04:02 PM

SERDANG, 14 Julai (Bernama) -- Kerajaan menyediakan peruntukan subsidi tambahan sebanyak RM100 juta kepada Felda bagi menampung peningkatan kos operasi ladang susulan penyasaran diesel, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengumumkan berita gembira itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata peruntukan berkenaan dipersetujui selepas Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengadakan rundingan dengannya berhubung isu dihadapi peneroka Felda susulan keputusan penyasaran subsidi diesel.

“Adakah pelaksanaan penyasaran subsidi (diesel) boleh 100 peratus sempurna? Ahmad Shabery telah bawa dalam (isu dihadapi Felda) selepas mesyuarat Jemaah Menteri.

“(Beliau tanya) bagaimana tentang peneroka Felda? Mereka guna peralatan (libatkan diesel), maka saya setuju (lulus peruntukan tambahan RM100 juta),” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Peneroka Felda 2024 di sini hari ini.

Harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter bermula 10 Jun iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.

Sebelum ini, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata untuk tempoh seterusnya, harga diesel akan diumumkan setiap minggu mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan, dan kerajaan akan terus memantau keadaan bagi mengelak ketidakstabilan harga.

Berhubung penyasaran subsidi diesel, Anwar meminta semua pihak berunding untuk mendapatkan manfaat daripada kerajaan dan bukannya mencaci di mana-mana platform.

“Runding baik-baik, saya wakil saudara. Rundingan baik dan kita cari penyelesaian, kalau maki hamun tidak dapat (apa-apa) (kerana) lagi kuat kamu maki lagi menyampah saya nak layan,” kata beliau.

Perdana Menteri sekali lagi menegaskan langkah penyasaran subsidi diesel oleh kerajaan dibuat bagi memastikan ia tidak dinikmati golongan yang tidak berhak seperti warga asing dan syarikat maha kaya.

“Semua (pimpinan dahulu) setuju penyasaran subsidi tetapi kenapa tidak buat, sebab tidak berani kerana beberapa kelompok marah,” kata beliau.

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan turut meluluskan peruntukan RM31.7 juta untuk 317 tanah rancangan Felda bagi Program Sejahtera Komuniti MADANI. 

Beliau berkata melalui peruntukan itu, setiap tanah rancangan akan menerima RM100,000 untuk melaksanakan satu projek ekonomi tambahan di kawasan mereka.

“Cadangkan satu projek ekonomi tambahan dan saya lulus setiap kampung RM100,000. Sekarang, (projek itu) sedang berjalan. Saya mahu semua (projek) diwakili melibatkan jawatankuasa masjid, surau, belia dan wanita,” kata beliau.

Anwar turut meminta supaya satu kaedah baharu diperkenalkan terutamanya daripada generasi muda bagi mengangkat Felda ke peringkat lebih tinggi.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan