AM

KPDN JUMPA SYARIKAT MINYAK KHAMIS BINCANG MEKANISME PENGELUARAN 'FLEET CARD' LEBIH CEPAT

14/07/2024 05:49 PM

IPOH, 14 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bertemu dengan lima syarikat minyak pada Khamis ini bagi mengenal pasti mekanisme pengeluaran 'fleet card' dengan kadar lebih cepat kepada pemohon subsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS). 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata pihaknya mengambil perhatian terhadap kelewatan permohonan 'fleet card' syarikat terutama kategori pascabayar kerana status kewangan pemohon perlu diperiksa terlebih dahulu. 

"Oleh kerana perlunya pemeriksaan terhadap akaun kewangan dan sebagainya, ada permohonan mengambil masa hingga sebulan maka kita mahu lihat jika ada cara supaya kadar lebih cepat kad ini boleh dikeluarkan iaitu kurang daripada 14 hari," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Jelajah Karnival KPDN Zon Tengah dan Festival Pengguna 2024 di sini hari ini. 

Beliau berkata menurut rekod terkini lima syarikat minyak pada 8 Julai lepas, sebanyak 165,897 'fleet card' telah dikeluarkan.

Armizan juga berkata syarikat yang tersenarai di bawah 33 jenis pengangkutan darat awam dan barangan boleh memohon menyertai SKDS melalui Sistem MySubsidi Diesel di bawah kawal selia KPDN dan permohonan lengkap mungkin diluluskan serta-merta. 

Beliau berkata setakat hari ini, jumlah keseluruhan kenderaan pengangkutan awam dan barangan yang telah diluluskan subsidi diesel di bawah SKDS ialah 248,887 membabitkan 88,029 syarikat.

Armizan berkata KPDN turut melaksanakan program turun padang untuk mempromosi dan menyediakan ruang kepada syarikat-syarikat untuk mengemukakan sebarang pertanyaan sekali gus membuat permohonan. 

"Program berbentuk outreach ini dilaksanakan melalui Program Hari Terbuka di reruai SKDS pada acara-acara anjuran kerajaan seperti Program Jelajah KPDN dan Program MADANI Rakyat.

"Syarikat yang telah mendapat kelulusan SKDS boleh terus memohon 'fleet card' daripada lima syarikat minyak yang telah diintegrasikan di dalam Sistem MySubsidi Diesel," katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan