KUALA NERUS, 14 Julai (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan akan memantau setiap penerbitan Al-Quran versi digital dan braille bagi mengelakkan berlaku sebarang kesilapan.
Menteri berkenaan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya akan segera mengambil tindakan jika terdapat sebarang kesalahan tanpa menunggu sehingga ia menjadi terlalu serius.
"Kita ambil ini sebagai tanggungjawab kita... maknanya kalau mereka (penerbit) hasilkan Al-Quran digital sekalipun, Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN (PK KDN) ada keupayaan untuk menguruskannya.
"Saya yakin ia mampu mengurangkan sebarang potensi berlaku kecacatan dari segi penghasilan Al-Quran versi digital... termasuk Al-Quran versi braille," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Menteri Dalam Negeri Bersama Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) KDN di sini hari ini.
Saifuddin Nasution juga berkata Al-Quran yang diimport dari luar untuk tujuan edaran dalam negara juga tertakluk kepada Akta Percetakan Teks Al-Quran dan setakat Jun lepas, KDN telah merampas 22,414 unit teks dan bahan Al-Quran import bernilai lebih RM3.2 juta yang tidak menepati standard ditetapkan Malaysia.
Pada program hari ini, beliau turut melancarkan Garis Panduan Penulisan Al-Quran Braille Standard Malaysia untuk memastikan keseragaman cetakan versi braille dengan versi biasa selain Sistem Tasheh yang menggunakan kemajuan teknologi untuk proses semakan pruf akhir.
Saifuddin Nasution juga berkata KDN akan mengubah sistem penggunaan senjata api oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi mengekang salah guna senjata api tersebut.
"Senjata api selepas ini akan disimpan di stor senjata. Bila anggota nak bertugas, baru kita akan benarkan dia ambil," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial