AM

Qari, Qariah Musabaqah Kelab TaHa Bawa Pulang RM1,000, Pakej Percutian

30/10/2024 07:44 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Muhammad Irfan Syakir Romainor dan Nur Aufa Hanis Nazri, masing-masing merangkul kemenangan sebagai johan Qari dan Qariah Musabaqah Kelab TaHa Peringkat Kebangsaan 2024 yang berlangsung semalam.

Muhammad Irfan Syakir, 16, yang mewakili wilayah selatan dan Nur Aufa Hanis, 14, dari wilayah utara, membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan baucar pakej percutian domestik bernilai RM500.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Syed Hamadah Syed Othman dalam kenyataan hari ini berkata program anjuran TH itu diadakan bertujuan membantu melahirkan generasi celik al-Quran.

Beliau berkata selain itu, ia turut menjadi wadah untuk TH memainkan peranan memartabatkan al-Quran dalam kehidupan para remaja dalam mendepani cabaran dunia digital masa kini.

“Alhamdulillah, dalam penganjuran program sepanjang dua tahun lepas, kita telah menyaksikan anak-anak sekecil sembilan dan 11 tahun menjadi johan dan naib johan atas kehebatan mereka mengalunkan ayat suci al-Quran.

“Buat kali pertama tahun ini, kita membuka penyertaan kepada remaja yang berusia 13 hingga 17 tahun daripada ahli TaHa Bestari,” katanya.

Syed Hamadah berkata menerusi penganjuran program itu, ia diharap dapat menjadi langkah awal dalam menerapkan asas al-Quran dalam diri anak-anak sejak kecil selain dapat melahirkan anggota masyarakat yang sentiasa berpaksikan agama sebagai tunjang kehidupan.

Musabaqah Kelab TaHa Peringkat Kebangsaan menyaksikan lima peserta lelaki dan lima peserta perempuan bersaing merebut gelaran johan peringkat kebangsaan bagi kategori Qari dan Qariah.

Peserta yang terpilih merupakan johan Qari dan Qariah dari wilayah utara, tengah, selatan, timur dan Sabah/Sarawak selain penganjuran pada peringkat negeri dan wilayah telah dilaksanakan dari Mei lepas dan menerima lebih 1,000 penyertaan.

Alunan bacaan al-Quran setiap peserta dinilai barisan hakim yang dianggotai Johan Qariah Tilawah al-Quran Antarabangsa 2022 Sofizah Mousin serta dua juri daripada TH.

Sementara itu, Muhammad Irfan Syakir yang menzahirkan rasa syukur dipilih sebagai juara Musabaqah Cilik TaHa Peringkat Kebangsaan berkata beliau tidak menyangka usaha kerasnya dalam mendalami al-Quran membuahkan hasil.

“Setiap hari saya akan peruntukkan sekurang-kurangnya tiga jam untuk membaca al-Quran, memantapkan tajwid dan melatih alunan taranum bacaan saya. Dari sudut suara pula, saya memang elakkan minuman berais dan makanan berminyak bagi memastikan suara lancar dan alhamdulillah, usaha ini berbaloi,” kata anak kelahiran Selandar, Melaka itu.

Nur Aufa Hanis yang berasal dari Kulim, Kedah pula menyifatkan kemenangan kali pertama sebagai johan Qariah amat bermakna untuknya.

“Alhamdulillah, saya sangat gembira kerana telah membanggakan ibu bapa. Setiap minggu saya berulang dari Kulim ke Baling untuk belajar mengaji dengan guru yang juga ibu saudara saya, Hasnah Ayob, yang banyak mengajar serta membimbing saya terutamanya dari sudut bacaan dan penafasan saya.

“Saya sangat berharap TH dapat meneruskan program seumpama ini pada masa akan datang kerana ia sangat bagus dalam mendekatkan generasi muda seperti saya kepada al-Quran serta mendidik cara bacaan tajwid dan taranum yang betul,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan