DUNIA

Mengimbas Kembali Cubaan Rampasan Kuasa Khianat 2016 Di Turkiye

15/07/2024 04:15 PM

(Artikel oleh Prof Fahrettin Altun, Ketua Komunikasi Presiden Republik Turkiye, sempena Hari Demokrasi dan Perpaduan Nasional Turkiye pada 15 Julai)

 

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Pada malam 15 Julai 2016, satu cubaan rampasan kuasa khianat dilancarkan dengan tujuan untuk menggulingkan kerajaan Turkiye yang dipilih secara demokrasi. Cubaan rampasan kuasa oleh Pertubuhan Pengganas Fetullahist (FETO) bermula dengan sekatan jambatan di Istanbul dan kereta kebal mengambil alih jalan raya.

Banyak institusi dan organisasi negara, terutama Majlis Agung Kebangsaan Turkiye, Kompleks Presiden dan Direktorat Polis Wilayah Ankara, dibom. Insiden itu segera disedari bukan kes terpencil tetapi tindakan yang diselaraskan.

Unit rampasan kuasa FETO menganjurkan serangan yang bertujuan untuk membunuh Presiden kami Recep Tayyip Erdogan. Rakyat kami turun ke dataran untuk mempertahankan demokrasi mereka atas seruan presiden kami yang disiarkan di televisyen nasional. Jutaan rakyat kami berjuang menentang organisasi pengganas rampasan kuasa sepanjang malam.

Angkatan Tentera, Polis Kebangsaan dan rakyat kami yang teguh dalam demokrasinya, berjaya menumpaskan cubaan rampasan kuasa khianat itu pada pagi 16 Julai dan menangkap perancangnya. Pada malam 15 Julai, wira seperti Syahid Omer Halisdemir, yang berkorban nyawa untuk mempertahankan Komando Pasukan Khas dan membunuh jeneral yang merupakan sebahagian daripada perancang rampasan kuasa, menjadi penghalang kepada perancang rampasan kuasa.

Rakyat kami berjaya membunuh perancang rampasan kuasa yang berniat meragut nyawa mereka di Jambatan Bosphorus yang disekat, dengan risiko kehilangan nyawa sebagai syahid. Peristiwa ini adalah antara detik bersejarah apabila perpaduan dan tekad bangsa kami diuji.

Dari saat awal cubaan rampasan kuasa, kerajaan Turkiye bertindak untuk memulihkan ketenteraman dan membawa pelaku ke muka pengadilan. Dalam kenyataan yang dibuat oleh Presiden dan pegawai negara kami dalam proses ini, didedahkan bahawa cubaan rampasan kuasa dilakukan oleh kumpulan haram yang telah menyusup masuk ke Angkatan Tentera Turkiye di luar kawalan staf komando.

Kini pasti bahawa FETO berada di belakang cubaan rampasan kuasa itu. Didedahkan bahawa ketua organisasi itu, yang tinggal di Amerika Syarikat, melakukan tindakan khianat ini melalui organisasi selari dalam negara.

Kemenangan itu dipuji sebagai satu daripada penentangan paling mulia bukan sahaja di Turkiye tetapi juga dalam sejarah demokrasi di seluruh dunia.

Turkiye, yang meneruskan perjuangannya hari ini, mengharapkan solidariti dari negara-negara sahabat dan sekutu, terutama dalam ekstradisi pelarian FETO dan ketua-ketua yang melarikan diri ke luar negara. Walaupun banyak negara dalam komuniti antarabangsa telah menyatakan solidariti dan sokongan kepada Turkiye, tindak balas sesetengah rakan kami terhadap cubaan rampasan kuasa adalah tidak mencukupi.

Turkiye juga tidak berpuas hati dengan cara cubaan rampasan kuasa dilaporkan dalam media negara-negara ini. Media antarabangsa cuba mempermudahkan peristiwa 15 Julai. Mereka melaporkan cubaan rampasan kuasa berdarah terhadap demokrasi negara kami menggunakan frasa mengerikan "pertarungan antara dua puak".

Selepas cubaan rampasan kuasa yang dahsyat pada 15 Julai, walaupun beberapa percubaan untuk ekstradisi ketua organisasi yang berpangkalan di Pennsylvania, tiada jawapan konstruktif diperoleh daripada rakan kongsi kami, Amerika Syarikat. Sikap ini sebagai tindak balas kepada ancaman terhadap demokrasi kami, yang mengecewakan kami.

Kami sedar bahawa FETO terus beroperasi di banyak geografi yang berbeza, termasuk di negara sekutu kami. Kami akan terus memerangi organisasi pengganas ini dalam semua bidang, kerana ia membahayakan keselamatan bukan sahaja Turkiye tetapi juga semua negara di mana ia beroperasi.

Sebagai sebuah negara yang telah mengukuhkan lagi institusi demokrasinya selepas cubaan rampasan kuasa khianat, kami akan terus berjuang menentang organisasi pengganas yang menyasarkan nyawa rakyat kami dan kemerdekaan negara kami dalam setiap bidang.

Kami akan terus menghargai kenangan rakyat kami yang terkorban pada malam yang dahsyat itu dengan mempertahankan kebebasan dan masa depan Turkiye.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan