EKONOMI

MIGHT-TUBITAK Pelawa Institusi, Entiti Swasta Beri Cadangan Untuk 'Grand Challenge 3.0'

11/10/2024 03:03 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dan Majlis Penyelidikan Teknologi dan Saintifik Turkiye (TUBITAK) mempelawa institusi dan entiti swasta di kedua-dua negara memberikan cadangan mengenai kerjasama penyelidikan translasi dua hala dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) untuk 'Grand Challenge 3.0'.

MIGHT dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu bertepatan dengan lawatan kerja Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi  Chang Lih Kang ke Turkiye untuk mengukuhkan kerjasama saintifik dan teknologi antara kedua-dua negara.

Pusingan ketiga Grand Challenge MIGHT TUBITAK itu dilancarkan susulan penandatanganan perjanjian antara MIGHT dan TUBITAK pada 17 Okt 2020.

“Program ini direka untuk menyokong penyelidikan dan pembangunan (R&D) melalui projek kerjasama antara industri dan akademik serta mencipta inovasi. 

"Bidang tumpuan kerjasama ialah kecerdasan buatan teras dan generatif, tenaga hidrogen dan penyimpanan tenaga, bahan termaju pertanian mampan untuk aeroangkasa, Internet Pelbagai Benda (IoT) dan robotik dalam teknologi angkasa," menurut kenyataan itu.

Kerjasama ini disokong oleh Malaysia Science Endowment (MSE), inisiatif bersama antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Akademi Sains Malaysia untuk mengekalkan pembiayaan R&D negara.

Peluang kerjasama itu dibuka kepada pihak Turki dan Malaysia dengan setiap konsortium terdiri daripada satu entiti akademik atau penyelidikan dan rakan kongsi komersial. Pelaksanaan setiap projek akan berlangsung selama dua tahun.

Pemenang sebelum ini termasuk kerjasama antara Universiti Bingol dan Kadifeteks di Turki serta Universiti Teknologi PETRONAS Malaysia, FixCoLab dan Pusat Nanoteknologi Kebangsaan MOSTI untuk membangunkan 'Prototype Nanomaterials Risk (NanoRisk)' bagi industri cat serta tekstil.

Satu lagi kerjasama yang turut memenangi anugerah ialah kolaborasi antara Universiti Eskisehir Osmangazi, Pomega Corporation dari Turkiye, Universiti Putra Malaysia dan Serdang Paste Technology.

Dalam kenyataan sama, Chang berbangga dengan kerjasama itu yang membawa banyak manfaat dalam bidang STI kerana Malaysia sedang mengorak langkah menjadi negara berteknologi tinggi menjelang 2030 dan melaksanakan pelbagai dasar serta hala tuju untuk menyokong visi ini.

Pada lawatan ke Turkiye itu, Chang diiringi Duta Besar Malaysia ke Turkiye Sazali Mustafa Kamal dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI Datuk Dr Mohd Nor Azman Hassan manakala MIGHT diwakili Naib Presiden Kanan Mohd Zakwan Mohd Zabidi dan TUBITAK diwakili Presidennya Profesor Dr Orhan Aydin.

Ditubuhkan pada 1963, TUBITAK institusi terkemuka dalam menguruskan, membiayai dan menjalankan penyelidikan dan pembangunan serta berperanan selaku badan penasihat kepada kerajaan Turkiye dalam bidang sains dan penyelidikan, selain menjadi sekretariat untuk Majlis Tertinggi Sains dan Teknologi. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan