AM

Midf Lancar Inisiatif Halal 'hati' Dengan Peruntukan Dana Rm100 Juta

15/07/2024 04:50 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) melancarkan inisiatif Akreditasi Halal dan Penambahbaikan Teknologi (HATI) hari ini, dengan peruntukan dana khusus sebanyak RM100 juta untuk memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Inisiatif HATI adalah satu program komprehensif bertujuan untuk memupuk pertumbuhan, meningkatkan daya saing, dan mempromosikan pengembangan produk serta perkhidmatan halal PKS di peringkat global,  dengan cara pemodenan dan penggunaan teknologi.

Pengerusi MIDF Tan Sri Abdul Rahman Mamat berkata inisiatif HATI adalah program holistik yang direka bagi menyediakan sokongan menyeluruh melalui pembiayaan dan peningkatan ekosistem dengan menyediakan pembiayaan khusus RM100 juta untuk PKS dalam sektor halal.

"Matlamat kami adalah untuk menyokong perusahaan ini dalam melaksanakan inisiatif halal, meningkatkan kecekapan operasi mereka, dan memenuhi keperluan ketat pasaran halal global," katanya semasa majlis pelancaran inisiatif itu di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri hari ini.

Inisiatif HATI itu dilancarkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Menurut Abdul Rahman, pembiayaan itu meliputi pelbagai aktiviti termasuk pensijilan halal, pengubahsuaian premis, pembelian mesin dan perbelanjaan lain yang berkaitan.

“Sokongan komprehensif ini memastikan PKS kita dapat bersaing pada peringkat global dan memanfaatkan peningkatan permintaan untuk produk dan perkhidmatan halal,” katanya.

Abdul Rahman berkata program itu menyasarkan untuk membiayai sejumlah 50 PKS dengan sasaran awal 20 PKS tahun ini.

Dalam satu kenyataan berasingan, MIDF berkata bahawa fokus utama inisiatif HATI termasuk menyediakan PKS dengan penyelesaian pembiayaan yang disesuaikan, termasuk kadar daripada empat peratus hingga 6.5 peratus setahun.

"Tumpuan lain ialah pembangunan kapasiti melalui kerjasama dan memanfaatkan perkongsian strategik dengan HDC, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak berkepentingan lain," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan