EKONOMI

SEDA ANJUR SIDANG KEMUNCAK TENAGA LESTARI KEENAM PADA 20-21 OGOS

15/07/2024 08:37 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA)  Malaysia akan menganjurkan Sidang Kemuncak Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) 2024 ke-6 pada 20-21 Ogos, 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Persidangan itu turut dianjur oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dan diuruskan oleh Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd, kata SEDA dalam satu kenyataan hari ini.

Bertemakan “Mempercepatkan Peralihan Tenaga Melalui Inovasi”, ia bermatlamat menumpukan kepada penyelesaian inovatif untuk tenaga mampan.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijangka berangkat menyampaikan titah utama ketika sidang pleno pada sidang kemuncak itu, katanya.

SEDA berkata ia menjangkakan lebih 70 penceramah yang disegani dan 30 pempamer terkemuka akan menyertai sidang kemuncak itu, menarik kira-kira 4,500 pelawat dari seluruh dunia.

“Program tahun ini akan menampilkan sesi pleno dan bengkel yang diketuai oleh pakar dan pemimpin tenaga terkemuka.

“Turut berlangsung serentak dengan persidangan itu ialah pameran melibatkan jenama terkemuka dalam industri tenaga mampan, di samping padanan perniagaan akan dijalankan untuk memudahkan rangkaian dan kerjasama ke arah masa depan karbon sifar bersih,” katanya.

Agensi tenaga boleh baharu itu berkata antara penceramah utama ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tenaga Nasional Bhd Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan, Penasihat Kanan Institut Penyelidikan Khazanah Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram dan CEO kumpulan Cenergi-SEA Bhd Hairol Azizi Tajudin.

Ia berkata ISES 2024 turut menawarkan tiket pada kadar eksklusif untuk peserta acara itu.

“Harga tiket bagi pendaftaran persidangan ialah RM1,288 (pendaftaran selewat-lewatnya pada 19 Ogos 2024), manakala kumpulan yang terdiri daripada lima atau lebih peserta boleh mendapatkan tiket dengan harga RM888 setiap tiket.

“Pelajar dan warga emas berumur 60 tahun ke atas digalakkan membeli tiket pada kadar istimewa RM700 sehari, dengan sesi pilihan mereka,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat menyeluruh berkaitan ISES 2024 keenam, tiket pada kadar diskaun serta butiran pendaftaran di laman web https://www.ises.gov.my/programme.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan