AM

KERAJAAN AKAN TERUS DORONG PENGGUNAAN EV, KURANGKAN PELEPASAN KARBON - LOKE

15/07/2024 08:14 PM

REMBAU, 15 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan terus mendorong penggunaan kenderaan elektrik (EV) melalui pelbagai dasar sokongan dan pelaksanaan proaktif daripada semua pihak termasuk sektor swasta, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata ini berikutan langkah itu mampu membantu mencetus perubahan yang berkesan antaranya mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) selari dengan matlamat negara untuk mencapai sasaran emisi sifar bersih.

“Pada masa ini, pengangkutan merupakan penyumbang emisi CO2 kedua terbesar, iaitu sehingga 30 peratus daripada pelepasan gas rumah hijau negara. Disebabkan itu kita berusaha untuk mendorong peralihan kepada penggunaan EV dalam industri pengangkutan.

“Dalam sektor kerajaan contohnya Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) turut ke arah pembelian bas EV. Untuk masa hadapan, semua bas adalah berbentuk EV selain pelbagai dasar untuk menggalakkan penggunaan EV bagi kenderaan persendirian seperti pengecualian cukai sepenuhnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelancaran trak EV Milo bagi menghantar barangan Milo merentas sempadan antara Malaysia dan Singapura, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia Juan Aranols.

Loke berkata usaha logistik hijau Nestlé Malaysia menggunakan trak EV untuk pengangkutan rentas sempadan menyumbang kepada matlamat negara bagi mengurangkan emisi karbon dan menggalakkan penyelesaian pengangkutan lestari selari dengan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030.

Beliau berkata inisiatif dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Shell Malaysia Trading Sdn Bhd merupakan contoh terbaik untuk memperlihatkan cara kepimpinan sektor swasta yang boleh mempercepat perjalanan Malaysia ke arah kelestarian.

Justeru, beliau menyeru lebih banyak syarikat mencontohi usaha Nestlé Malaysia mengguna pakai teknologi yang bertanggungjawab dan inovatif untuk mengurangkan kesan alam sekitar sekali gus meningkatkan kecekapan operasi.

Beliau berkata pihaknya turut memberikan kelulusan secara pembuktian konsep (POC) kepada Nestle Malaysia bagi penggunaan kenderaan penggerak utama dan treler berbeza syarikat untuk menghantar barangan Milo ke Singapura. 

“Biasanya lori mempunyai dua lesen iaitu untuk kepala (penggerak utama) dan tangki belakang, syarikat sama memiliki kedua-dua lesen (penggerak utama dan tangki). Dalam kes ini, kita akan benarkan dua syarikat berlainan untuk menyediakan perkhidmatan ini supaya Nestle boleh memulakan agenda menghantar barang melalui trak EV dengan cepat dan mengurangkan kos.

“Kalau mana-mana syarikat lain berhasrat mengadakan usaha sama seperti ini, mereka boleh menulis surat kepada kementerian untuk mendapatkan kelulusan secara POC. Kita akan kemaskan peraturan itu tetapi ia akan mengambil masa. Kita mahu menggalakkan syarikat menggunakan EV,” katanya.

Sementara itu, Juan berkata penggunaan trak EV adalah bagi mengangkut tangki Milo antara kilang di Chembong di sini dan kilang di Jurong, Singapura dengan purata 1,750 perjalanan setahun meliputi jarak 280 kilometer bagi setiap perjalanan.

“Inisiatif ini berupaya mengurangkan emisi karbon sebanyak 1,000 tan setahun. Kami juga berhasrat mendapatkan empat trak EV tambahan dalam tempoh enam bulan akan datang, dengan matlamat untuk mengubah laluan itu kepada 100 peratus laluan hijau,” katanya.

Beliau berkata penggunaan trak EV turut menunjukkan usaha berterusan pihaknya untuk mengurangkan jejak karbon selain operasi loji janakuasa biojisim di kilang di Rembau yang mengurangkan emisi CO2 sebanyak 14,000 tan setahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan