AM

Speaker Dun Selangor Gesa Mohamed Azmin Tarik Balik Tuduhan

15/07/2024 09:16 PM

SHAH ALAM, 15 Julai (Bernama) -- Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Lau Weng San menggesa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menarik balik tuduhan ke atas beliau berhubung keputusan berkaitan status Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari dan perjalanan sidang DUN Selangor yang berakhir Jumaat lepas.

Lau berkata dakwaan Ketua Pembangkang DUN Selangor itu bahawa beliau tidak profesional, tidak adil dan berat sebelah serta bertindak tidak mengikut Perlembagaan dan undang-undang ketika membuat keputusan adalah salah dan tidak boleh dipandang remeh.

Mengenai status ADUN Selat Klang, beliau berkata Abdul Rashid dan Mohamed Azmin telah diberikan peluang memberi kenyataan, mengemukakan dokumen serta bukti berhubung dakwaan kekosongan luar jangka kerusi itu sebelum keputusan dibuat.

“Penjelasan telah diberi bagaimana keputusan itu dicapai. Fungsi Speaker di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor disifat sebagai functus officio (tugas yang sudah selesai dilaksanakan),” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Lau dalam Persidangan DUN Selangor pada 11 Julai lepas memaklumkan tidak berlaku kekosongan luar jangka kerusi DUN Selat Klang yang disandang Abdul Rashid selepas tiada bukti mencukupi untuk mengesahkan kekosongan luar jangka berkenaan.

Berhubung dakwaan sidang DUN yang sepatutnya berlangsung 10 hari iaitu dari 4 hingga 18 Julai yang dipendekkan kepada lima hari, Lau berkata ia mengambil kira Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari yang akan mengiringi Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu dan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Lau berkata Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu yang ke-266 akan berlangsung pada 17 hingga 18 Julai manakala Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 20 Julai dan beliau yakin Mohamed Azmin yang pernah mengetuai kerajaan negeri faham tentang tugas Menteri Besar dalam perkara itu.

Walaupun tiada sebarang rang undang-undang dibentangkan ke sidang kali ini, katanya masa persidangan tetap dipanjangkan setiap hari iaitu penambahan antara satu hingga dua jam sehari, menjadikan jumlah masa dari segi jam melebihi seminggu.

Berdasarkan penjelasan itu, Lau berkata dapat disimpulkan dakwaan dibuat Mohamed Azmin adalah salah dan tidak profesional.

“Yang Berhormat Ketua Pembangkang perlu mengakui kesilapan-kesilapan ini, menarik balik kenyataan-kenyataan yang salah dan memohon maaf,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan