REMBAU, 15 Julai (Bernama) -- Warga pendidik perlu melihat nasihat daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan displin dan prestasi perkhidmatan mereka dalam konteks positif, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Beliau berkata ini kerana kenyataan Perdana Menteri itu lebih kepada motivasi kepada seluruh warga pendidik sekali gus dalam meningkatkan mutu pendidikan negara.
Fadhlina berkata walaupun mungkin terdapat sebilangan kecil yang gagal menjalankan tanggungjawab mereka, namun Kementerian Pendidikan memberikan jaminan bahawa warga pendidik di Malaysia cukup terlatih dan komited dalam meningkatkan mutu pendidikan negara.
“Secara keseluruhannya KPM memberikan jaminan guru-guru yang terlatih, cukup komited dan memberikan tumpuan sepenuhnya jiwa raga mereka untuk pendidikan negara.
“Apatah lagi kita sedang melangkah ke agenda penting berkaitan dengan kurikulum baharu 2027, termasuklah pelan pembangunan pendidikan 2025 dan sekarang ini sedang membina pelan pendidikan yang baharu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan projek naik taraf Kolej Vokasional Dato' Lela Maharaja di sini hari ini.
Perdana Menteri sebelum ini dilaporkan sebagai berkata kerajaan menerima prinsip kenaikan pangkat secara time-based, namun kemudahan itu akan dibatalkan bagi guru yang cuai dan lemah dari segi disiplin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial