EKONOMI

KERAJAAN KOMITED KEKAL TRAJEKTORI KONSOLIDASI FISKAL - KEMENTERIAN KEWANGAN

15/07/2024 10:20 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Kerajaan komited untuk mengekalkan trajektori konsolidasi fiskal dengan defisit pada 2023 mencatat pengurangan kepada 5.0 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) iaitu sebanyak RM91.4 bilion berbanding 5.6 peratus pada 2022 (RM99.5 bilion), kata Kementerian Kewangan (MOF).

Menurut MOF, defisit fiskal pada 2024 diunjur untuk terus berkurang kepada 4.3 peratus KDNK iaitu RM85.4 bilion.

“Usaha itu mampu untuk menambah baik kedudukan kewangan awam seterusnya mengurangkan beban hutang dalam jangka sederhana dan panjang,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen pada Isnin.

Kementerian Kewangan berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) yang meminta justifikasi kepada kenaikan hutang kerajaan RM64 bilion dalam tempoh empat bulan bermula Januari 2024 sehingga April 2024.

Sementara itu, bagi tempoh Januari hingga April 2024, hutang kerajaan meningkat sebanyak RM50 bilion kepada RM1.22 trilion pada akhir April 2024, berbanding RM1.17 trilion pada akhir 2023.

“Bagi tempoh Januari hingga April 2024, kerajaan telah membuat pinjaman kasar berjumlah RM70.5 bilion meliputi terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia sebanyak RM30 bilion, Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (RM34.5 bilion) dan bil Perbendaharaan (RM6 bilion).

“Terimaan pinjaman ini digunakan untuk membayar hutang yang matang sebanyak RM20.6 bilion dan baki RM49.9 bilion untuk menampung defisit dalam tempoh tersebut serta hutang yang akan matang,” kata kementerian itu.

Ia berkata, secara amnya, peningkatan hutang kerajaan saban tahun adalah berikutan keperluan kerajaan membuat pinjaman bagi membiayai defisit fiskal iaitu untuk menampung perbelanjaan pembangunan (DE).

“Pinjaman ini akan meningkatkan paras hutang selagi mana kedudukan kewangan mengalami defisit. DE penting kerana ia merupakan pelaburan awam yang mempunyai kesan pengganda besar dan berimpak tinggi dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara,” kata MOF.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan