AM

Sultan Ibrahim Sentiasa Dahulukan Kepentingan Rakyat

16/07/2024 11:19 AM

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

JOHOR BAHRU, 16 Julai (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat, kata Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Dr Abdul Rahim Ramli.

Beliau berkata Seri Paduka Baginda tidak suka membazirkan masa rakyat dan sentiasa mementingkan keringkasan sama ada ketika mencemar duli ke sesuatu majlis atau istiadat.

Abdul Rahim yang berkhidmat sejak pemerintahan nenda Seri Paduka Baginda, Almarhum Sultan Ismail, berkata Sultan Ibrahim mengurus waktu dengan sangat baik dan tidak mahu sesuatu majlis mengambil tempoh yang panjang.

“Tuanku hendak ringkas. Jika istiadat berjalan, kita buat dengan cara yang lebih cepat dan tepat, begitu juga kalau beri ucapan tidak mahu panjang-panjang, pendek sahaja kerana Seri Paduka Baginda tidak mahu membazirkan masa orang ramai,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di sini baru-baru ini.

Menyifatkan Sultan Ibrahim berhati lembut dan penyayang serta tidak menggunakan bahasa yang kasar, Abdul Rahim berkata Seri Paduka Baginda juga sangat mementingkan ketelitian terutama ketika berkenan menerima menghadap, khususnya melibatkan urusan kepentingan rakyat.

“Sebagai jumaah, saya mesti bersedia, apa yang saya hendak sembahkan nanti, saya kena tahu apa yang Tuanku akan tanya, jadi saya akan buat kertas cadangan untuk dipersembahkan dan Tuanku akan tanya, bagaimana ia memberi kesan kepada rakyat dan apa yang rakyat akan fikir serta signifikannya?" katanya.

Menceritakan momen semasa mengiringi Sultan Ibrahim yang ketika itu Tunku Mahkota Johor berangkat ke daerah-daerah bertemu orang kampung, beliau berkata Seri Paduka Baginda sentiasa berpesan dengannya agar mengaturkan perjumpaan dengan seberapa ramai rakyat yang boleh.

Abdul Rahim berkata ketika perjumpaan itu juga, Seri Paduka Baginda gemar menikmati makanan kampung sekiranya dijamu sebarang santapan.

“Seri Paduka Baginda tidak mahu makanan mewah, hendak makanan apa yang rakyat dan orang kampung makan. Kesukaan Tuanku, mesti ada nasi putih, ikan masak asam pedas, ikan kering, sambal belacan dan sayur nangka masak lemak.

"Tuanku tidak mahu duduk di kerusi atau bersantap menggunakan sudu dan garpu, Tuanku mahu duduk sama rata dengan rakyat di atas tikar mengkuang dan bersantap pakai tangan. Perkara ini ramai orang tidak tahu,” katanya.

Beliau berkata keperibadian Sultan Ibrahim itu membuatkan Seri Paduka Baginda sentiasa dekat pada hati rakyat yang dapat disaksikan melalui siri jelajah ikonik Kembara Mahkota Johor (KMJ) yang diadakan sejak 2001.

Menerusi KMJ, Abdul Rahim berkata Sultan Ibrahim dan keluarga Diraja Johor bersama pegawai kerajaan bertemu rakyat bagi menyelesaikan segala isu yang dihadapi termasuk menyalurkan bantuan barangan atau kelengkapan yang diperlukan rakyat.

Selain itu, beliau berkata Sultan Ibrahim sentiasa mengutamakan rakyat agar tiada yang terpinggir dan ia dapat dilihat menerusi penubuhan pelbagai yayasan dengan peruntukan kewangan dikeluarkan oleh Seri Paduka Baginda sendiri.

Abdul Rahim turut yakin negara akan terus maju dan sejahtera di bawah naungan Sultan Ibrahim serta mendoakan Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah bersemayam di takhta kebesaran dengan penuh kedaulatan, dilanjutkan usia dan sentiasa diberkati Allah SWT.

Sultan Ibrahim melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas.

Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 akan berlangsung di Istana Negara pada 20 Julai ini dan bersempena dengan istiadat itu, BERNAMA TV akan menyiarkan dokumentari "Di Sebalik Mahkota" pada 19 Julai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan