MELAKA, 16 Julai (Bernama) -- Walaupun sesetengah belia menganggap sektor pembersihan antara pekerjaan 3D (kotor, bahaya dan sukar) atau tidak mempunyai 'standard' namun buat orang kurang upaya (OKU) Muhammad Luqman Hashim bidang berkenaan menjadi punca rezeki menyara diri dan keluarga.
Muhammad Luqman, 34, yang bekerja di bahagian 'blower' di SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) berkata dia berbangga kerana pekerjaan ini secara tidak langsung membantu memastikan kawasan jagaannya iaitu Taman Botanikal Melaka di Ayer Keroh di sini sentiasa bersih, kemas dan cantik.
"Saya amat berbangga diterima menjadi sebahagian warga pembersihan di SWM Environment sejak enam tahun lepas walaupun serba kekurangan kerana bisu serta pekak sejak dilahirkan dan dalam tempoh berkenaan saya diberi kepercayaan penuh untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan ditetapkan.
"Setiap hari, saya akan memastikan daun kering dan sampah sarap di sekitar Taman Botanikal Melaka dibersihkan menggunakan 'blower' kerana destinasi itu menjadi tumpuan orang awam dan pelancong beriadah, lebih-lebih lagi tahun ini ialah Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Muhammad Luqman berkata demikian menggunakan bahasa isyarat yang diterjemahkan jurubahasa isyarat yang juga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Melaka Mohd Faizal Hassan.
Mengulas lanjut, Muhammad Luqman berkata dia bertemu jodoh dengan isterinya Hizatul Fateha Fowzi, 32, yang juga OKU pekak dan bisu di SWM Environment Melaka dan kedua-dua mereka ditugaskan membersihkan kawasan berhampiran.
Anak jati Cheng itu bersyukur kerana tidak menerima layanan berbeza atau diskriminasi daripada rakan sekerja sebaliknya mereka bekerja dalam suasana harmoni dan saling membantu.
Mengimbau pengalaman ketika mula bekerja, Muhammad Luqman berkata agak sukar untuk berkomunikasi dengan rakan sekerja serta majikan kerana bukan semua boleh berbahasa isyarat sehingga terpaksa menaip di telefon sebagai medium perantara.
"Tetapi hari ini, banyak rakan sekerja termasuk penyelia tahu menggunakan bahasa isyarat dan komunikasi semakin baik dan lancar… suasana pekerjaan sedia ada menguatkan lagi semangat saya untuk terus menyumbang keringat kepada masyarakat, negeri dan negara," kata anak keenam daripada tujuh beradik itu.
Muhammad Luqman berkata setiap hari penyelia pembersihan akan memantau setiap tugas dan arahan yang diberikan kepadanya dan rakan OKU lain bagi memastikan tugasan dapat diselesaikan dengan baik selain memastikan keselamatan ketika bekerja terjamin.
Sementara itu, Ketua Pekerja SWM Environment Mohd Faizul Kamaruddin, 32, berkata pekerja OKU perlu diberi peluang sama rata dalam bidang pekerjaan kerana golongan berkenaan mampu memberi sumbangan sama seperti pekerja normal lain sekiranya diberi bimbingan dan pemantauan sebaiknya.
"Sejak saya mula menyelia Muhammad Luqman pada 2021, beliau dapat melakukan tugas pembersihan yang diberikan dengan baik dan mengikut arahan, begitu juga dengan beberapa pekerja OKU pembersihan lain," katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata setakat ini, terdapat 34 OKU pelbagai kategori diterima bekerja di syarikat pembersihan itu dan golongan berkenaan sentiasa dialu-alukan untuk menjadi sebahagian keluarga besar sektor pembersihan itu.
Beliau berkata status OKU bukan penghalang bagi golongan itu untuk bekerja kerana mereka mampu menjadi contoh yang baik dan pembakar semangat kepada masyarakat normal lain untuk berjaya dalam hidup.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial