AM

KPM TERBUKA PESARA GURU BANTU TINGKAT TAHAP PDP BAHASA INGGERIS - FADHLINA

16/07/2024 01:10 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) mengalu-alukan pesara guru bahasa Inggeris tempatan untuk terlibat dalam usaha membantu meningkatkan tahap penguasaan mata pelajaran itu dalam kalangan pelajar di negara ini. 

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata golongan pesara guru sememangnya sudah banyak membantu usaha KPM selama ini dalam meningkatkan tahap pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam bahasa Inggeris.

"Sebagai contoh program HIP Mentor yang diperkenalkan ini satu program yang kita jalankan dengan guru yang telah bersara bagi membantu dalam menyediakan persekitaran bahasa Inggeris di sekolah melalui pelbagai pendekatan dan aktiviti bahasa Inggeris yang lebih menarik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi Waktu Pertanyaan Menteri bagi menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai cadangan melibatkan guru bersara di Malaysia dalam pengajaran bahasa Inggeris selain mendapatkan khidmat tenaga pengajar dari Singapura. 

Fadhlina berkata pihaknya bersifat terbuka dan mengalu-alukan sama ada sukarelawan dari Singapura ataupun pesara guru yang mahu menyumbang bakti.

Sementara itu, menjawab soalan asal Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) mengenai perancangan khusus kerajaan berhubung cadangan membawa masuk tenaga pengajar bahasa Inggeris dari Singapura itu, Fadhlina berkata inisiatif berkenaan masih diteliti KPM. 

Beliau berkata cadangan mewujudkan skim bantuan atau melantik sukarelawan yang dibiayai republik itu untuk ke kawasan tertentu di negara ini bagi mengajar bahasa Inggeris ialah hasil perbincangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong sebelum ini.

"Skim (sukarelawan) ini bertujuan membantu meningkatkan pengguasaan bahasa Inggeris murid di kawasan miskin bandar, pinggir bandar dan luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak. KPM menyambut baik dan sedang meneliti cadangan sukarelawan ini terutama daripada sudut pelaksanaan di institusi pendidikan KPM agar perkara ini selari dengan dasar dan peraturan sedia ada.

“KPM juga akan mengenal pasti sukarelawan yang mempunyai kelayakan tertentu bagi menjamin kualiti PdP," katanya.

Fadhlina berkata inisiatif seperti itu pernah dilaksanakan KPM dengan melibatkan tenaga pengajar dari negara maju seperti Australia, Amerika Syarikat dan Korea.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan