DUNIA

SEPANYOL RAI GELARAN EROPAH DI MADRID SELEPAS TEWASKAN ENGLAND 2-1

16/07/2024 04:32 PM

MADRID, 16 Julai (Bernama-Xinhua) -- Pasukan kebangsaan Sepanyol meraikan kejayaan mereka dalam Kejohanan Eropah pada Isnin dengan beberapa siri acara yang berakhir di pusat bandar Madrid, kata Xinhua.

Pasukan itu yang menewaskan England 2-1 di Berlin pada malam Ahad untuk memenangi kesemua tujuh perlawanan dalam kejohanan berkenaan tiba di Lapangan Terbang Barajas Madrid sejurus selepas pukul 14:00 waktu tempatan.

Para pemain dibawa ke hotel untuk berehat sebelum menuju ke Palacio de la Zarzuela di pinggir ibu kota Sepanyol untuk menerima ucapan tahniah daripada Raja Felipe VI (yang berada di Berlin pada Ahad) dan keluarga diraja.

Mereka kemudian membuat perjalanan singkat untuk bertemu Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez sebelum menaiki bas terbuka untuk berarak melalui pusat bandar ke Plaza Cibeles yang ikonik.

Puluhan ribu penyokong Sepanyol memenuhi jalan-jalan sepanjang perarakan yang berlangsung lebih dari sejam dan sesekali memenuhi dataran, yang juga merupakan tempat Real Madrid meraikan kejayaan mereka.

Dengan penyerang dan kapten Alvaro Morata sebagai pengacara majlis, penyokong menyanyikan nama jurulatih Luis de la Fuente, dan terutamanya pemain sayap Nico Williams, yang menjaringkan gol pembukaan dalam kemenangan Ahad dan dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan serta Lamine Yamal yang berusia 17 tahun.

Perayaan turut diserikan dengan DJ dan beberapa penyanyi, seperti Isabel Aaiun, yang lagunya Potra Salvaje (Wild Pony) menjadi lagu tidak rasmi para pemain sepanjang pertandingan.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan