AM

PENGAMAL PR PERLU AMALKAN KOMUNIKASI BERETIKA UNTUK BINA KEPERCAYAAN - FAHMI

16/07/2024 04:53 PM

PUTRAJAYA, 16 Julai (Bernama) -- Pengamal perhubungan awam (PR) diingatkan untuk mengamalkan komunikasi beretika dalam membina kepercayaan, memupuk hubungan dengan pelbagai pihak berkepentingan, dan membentuk masa depan yang lebih baik untuk industri dan masyarakat.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata dalam era di mana maklumat yang salah, berita palsu dan putar belit berleluasa, etika yang standard menjadi lebih penting berbanding sebelum ini.

“Komitmen inilah yang membezakan kita, dan kepercayaan inilah yang memperkasakan kita untuk mempengaruhi dan memacu perubahan transformatif.

“Untuk mengharungi kerumitan dunia VUCA (pergolakan, ketidakpastian, kompleks, kesamaran), komunikasi yang beretika dan bertanggungjawab, mesti menjadi asas kepada organisasi dan pengamalnya,” kata beliau dalam ucapannya pada Persidangan Komunikasi Beretika dan Bertanggungjawab Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM), di sini hari ini.

Fahmi berkata pengamal perhubungan awam juga harus telus mengenai maklumat yang boleh diakses, sahih dan menahan diri daripada mengisi kekosongan dengan spekulasi atau menidakkan dakwaan.

Beliau berkata berpegang teguh kepada Kod Tatakelakuan Profesional dan Kod Etika industri, akan memastikan integriti terpelihara.

Fahmi berkata pengamal PR juga harus menyesuaikan diri dengan alatan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) yang boleh digunakan bagi mendapatkan analisis data yang cekap, membolehkan mereka memberikan tumpuan kepada aspek PR yang lebih strategik.

“Dengan memanfaatkan alatan ini, anda bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan tetapi juga memperkukuhkan nilai sebagai komunikator, membolehkan anda mengalihkan tumpuan daripada kebiasaan kepada berwawasan, mengubah industri seperti yang kita ketahui,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan