AM

PROSES BEDAH SIASAT NUR FARAH KARTINI SELESAI PETANG TADI

16/07/2024 08:36 PM

SUNGAI BULOH, 16 Julai (Bernama) -- Proses bedah siasat mayat mangsa kes bunuh Nur Farah Kartini Abdullah, yang juga bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris di Tanjung Malim, Perak dilaporkan telah selesai sepenuhnya petang tadi. 

Menurut sumber, proses itu selesai pada 6.10 petang di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh di sini sebelum seorang daripada abang mangsa iaitu Mohd Farriza Azmi, 28, dan seorang lagi waris terdekat dibenarkan memasuki bedah siasat.

Sejurus keluar dari bilik itu, Mohd Farriza Azmi dilihat tidak dapat menahan perasaan sebak dan  menangis teresak-esak sebelum dikelilingi ahli keluarga terdekat mangsa yang lain.

Ahli keluarga dan kenalan Nur Farah Kartini yang berada di Jabatan Forensik sejak awal pagi kemudian dilihat beredar dari pekarangan Hospital Sungai Buloh tidak lama selepas itu.

Nur Farah Kartini yang hilang sejak Rabu lepas, ditemukan mati pada 6 petang semalam di sebuah ladang sawit di Felda Gedangsa, Hulu Selangor disyaki dibunuh oleh seorang lelaki, dipercayai teman lelakinya yang juga anggota polis dan bertugas di sebuah balai di Perak.

Gadis yang berasal dari Miri, Sarawak itu dilaporkan hilang pada 10 Julai selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan berhampiran Taman Universiti di Tanjung Malim.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan