DUNIA

NOTIS MERAH INTERPOL JHO LOW MASIH BERKUAT KUASA - POLIS SINGAPURA

16/07/2024 09:15 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 16 Julai (Bernama) -- Notis Merah Interpol terhadap ahli perniagaan dalam buruan Malaysia Low Taek Jho atau Jho Low, yang diterbitkan atas permintaan Singapura pada Oktober 2016, masih berkuat kuasa.

Pasukan Polis Singapura (SPF) berkata perjanjian penyelesaian antara Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) dan Jho Low serta keluarganya pada 26 Jun, untuk tindakan pelucuthakan sivil yang dimulakan oleh DOJ terhadap mereka, tidak mempunyai kaitan dengan siasatan jenayah polis terhadap Jho Low dan rakan-rakannya.

"Notis Merah Interpol kami terhadapnya kekal berkuat kuasa," kata SPF dalam satu kenyataan pada Selasa, sebagai respons kepada pertanyaan media.

Setakat ini, pihak berkuasa Singapura telah mendapat perintah mahkamah untuk mengeluarkan kira-kira S$103 juta (S$1=RM3.48) wang berkaitan 1MDB yang dirampas kepada kerajaan Malaysia.

Kira-kira S$164 juta aset berkaitan 1MDB di Singapura kekal dirampas atau dilarang daripada melupuskan, termasuk kira-kira S$101 juta yang dikaitkan dengan Jho Low dan keluarganya.

"Polis, bersama-sama dengan Jabatan Peguam Negara, sedang bekerjasama dengan rakan sejawat asing kami untuk memulangkan aset ini kepada Malaysia mengikut terma perjanjian penyelesaian antara Jho Low dan ahli keluarganya dan DOJ AS, dan mengikut undang-undang kami," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan