AM

PARLIMEN: KERAJAAN AKAN TELITI BANTUAN, KAEDAH PERALIHAN TANAMAN DURIAN BERNILAI TINGGI

17/07/2024 12:26 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan meneliti bantuan dan kaedah peralihan penanaman durian secara tradisonal kepada durian bernilai tinggi, yang boleh menjadi ledakan ekonomi baharu buat negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata perkara itu akan diperincikan lebih mendalam kerana ia merupakan sumber perniagaan khususnya apabila durian kini boleh diimport ke China secara durian segar.

“Kita kena lihat masalah menambah pendapatan (pekebun), kita akan bincang dari sudut dalam bentuk geran atau pinjaman mudah dan sebagainya kita akan bincang betul-betul. Hal durian ini sebab dia tidak sama dengan hal-hal beras, daging, ikan, telur dan minyak masak yang merupakan keperluan dan jika tiada, kehidupan terjejas.

“Durian kalau tidak ada tidaklah berapa terjejas, bagaimanapun ia satu perniagaan maka kita tangani sebagai sumber perniagaan, bukan soal seperti kedudukan beras, telur, ikan dan sebagainya dengan kerajaan memberi subsidi yang banyak dalam hal untuk mengekalkan harga setimpal,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) mengenai langkah kerajaan membantu pekebun durian dan cadangannya agar kerajaan memberikan peruntukan RM20 juta pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan tambahan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) berkaitan cadangan mewujudkan Durian Tourism dan penubuhan Lembaga Durian, Mohamad berkata program Durian Tourism sememangnya sudah ada.

“Pelancong terutama dari China bila turun ke Pulau Pinang mereka akan ke Balik Pulau untuk makan durian, begitu juga semalam apabila saya berada di Bukit Bintang, saya ke tempat jualan durian yang agak besar, semua yang datang kebanyakan pelancong China sebab bagi mereka harga tidak menjadi masalah,” katanya.

Berkaitan penubuhan Lembaga Durian, beliau berkata ia satu saranan yang baik dan akan dibawa kepada perbincangan di peringkat kementerian.

“Sebab New York Times juga telah membuat satu ramalan baharu bahawa durian satu pertumbuhan ekonomi baharu bagi Malaysia selepas kementerian menandatangani dengan Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC,) jadi saranan Bayan Baru kita ambil perhatian serius dalam pertumbuhan ekonomi,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan