SUKAN

BUSANA PERARAKAN KONTINJEN NEGARA DI OLIMPIK PARIS ELEGAN, DIPERKENAL RABU DEPAN - HANNAH

18/07/2024 03:36 PM

PUTRAJAYA, 18 Julai (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menyifatkan pakaian yang dicipta khas untuk kontinjen Malaysia pada upacara perasmian Sukan Olimpik Paris 2024 sebagai rekaan yang elegan.

Beliau yang telah melihat hasil rekaan pereka fesyen terkenal tanah air Rizman Ruzaini itu berkata ia akan diperkenalkan kepada umum pada 24 Julai ini.

"Saya percaya bila atlet kita pakai baju itu pada hari perasmian Sukan Olimpik ia akan jadi satu kebanggaan buat mereka dan apa yang kita utamakan pertama ialah ciri-ciri menunjukkan mereka adalah rakyat Malaysia.

"Keduanya adalah untuk keselesaan dan kita mahu pastikan perkara itu," katanya selepas majlis pelancaran rasmi aplikasi Sistem Pengurusan Sukan Udara (SAMS) oleh Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF), di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024 (CDM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata busana yang berinspirasikan baju Melayu yang dipakai pada perarakan pembukaan Sukan Olimpik itu bakal diperkenal kepada umum tidak lama lagi.

Upacara perasmian Olimpik Paris dijadual diadakan di Sungai Seine dengan bot akan membawa atlet bagi setiap delegasi negara.

Terdahulu, aplikasi inovatif dilancarkan menyepadukan pelbagai fungsi, termasuk pengurusan lesen, sijil, kedudukan individu, sistem SOS, acara sedang dilakukan oleh individu, penjejakan langsung, buku log dan pelbagai lagi modul.

Ia sebagai usaha memudahkan individu terlibat dalam sukan udara untuk mematuhi peraturan keselamatan yang ketat ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) itu juga menyaksikan MSAF turut menumpukan usaha menarik minat pelbagai pihak dalam memastikan standard keselamatan tertinggi komuniti sukan udara di samping memupuk pembangunan sektor dinamik itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan