AM

RTM SIAR ISTIADAT PERTABALAN YANG DI-PERTUAN AGONG KE-17 DALAM DWIBAHASA

19/07/2024 02:30 PM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Radio Televisyen Malaysia (RTM) menampilkan pembaharuan dalam siaran langsung istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-17 esok dengan menyiarkan upacara gilang-gemilang itu dalam dua versi iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Timbalan Pengarah Seksyen Ehwal Semasa RTM Rahayu Wahid berkata ini pertama kali RTM menyiarkannya secara dwibahasa memandangkan ada permintaan dari media negara luar untuk mendapatkan rakaman (footage) upacara tersebut. 

 “Untuk kali ini, siaran di TV1 akan menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya sementara di saluran Berita RTM akan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara.

“Siaran langsung Bahasa Melayu akan mula bersiaran dari pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari manakala untuk Bahasa Inggeris akan bermula pukul 8.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari,” katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata siaran langsung istiadat pertabalan yang berlaku setiap lima tahun, tidak hanya menampilkan kehebatan istiadat diraja Melayu tetapi turut mengetengahkan simbol-simbol istiadat dan identiti Malaysia yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan. 

Siaran langsung istiadat pertabalan dari RTM itu juga akan disiarkan oleh semua stesen televisyen tempatan termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan