JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TAHAN ENAM LELAKI, RAMPAS DADAH BERNILAI RM7.8 JUTA

19/07/2024 04:57 PM

SHAH ALAM, 19 Julai (Bernama) -- Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang aktif di Lembah Klang dengan merampas 49.5 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis bernilai RM7.8 juta dalam serbuan di sekitar Selangor, Rabu lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Khaw Kok Chin berkata polis turut menahan enam lelaki berusia 26 hingga 50 tahun serta menyita pelbagai aset dianggarkan bernilai RM530,806 melibatkan wang tunai, 27 barang kemas dan sembilan kenderaan.

Beliau berkata tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun di depan pos pengawal pangsapuri di Telok Panglima Garang, Selangor sebelum menemukan 44 kg pil ekstasi dan 3.55 kg pil Erimin 5 dalam sebuah kereta di tempat letak kenderaan pangsapuri berkenaan.

"Berdasarkan nombor lot parkir kereta dan dipandu arah suspek, polis menyerbu sebuah rumah di tingkat 17 pangsapuri berkenaan dan menemukan dadah syabu dengan anggaran kasar 2 kg di dalam bilik,”  katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini. 

Susulan itu katanya polis menahan lima lagi suspek di sekitar Selangor sekali gus melumpuhkan operasi sindiket berkenaan yang dipercayai aktif sejak awal tahun ini.

Khaw berkata modus operandi digunakan sindiket berkenaan ialah dengan menjadikan kenderaan sebagai tempat menyimpan dadah sebelum diedarkan kepada pelanggan.

Beliau berkata hasil saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah, namun lima daripada mereka mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah.

Kesemua suspek direman selama lima hari hingga 22 Julai ini bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan