SUKAN

PERUNTUKAN KHAS KERAJAAN RM5 JUTA KHUSUS UNTUK SKUAD KEBANGSAAN - FAM

19/07/2024 08:13 PM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelaskan peruntukan khas RM5 juta oleh kerajaan kepada badan induk bola sepak negara itu pada Januari lalu adalah khusus untuk mengurus dan meningkatkan keupayaan skuad kebangsaan.

Setiausaha Agungnya Datuk Noor Azman Rahman berkata demikian ketika mengulas gesaan dibangkitkan bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad agar peruntukan khas itu diagihkan sedikit kepada Kuala Lumpur City (KL City) FC yang menghadapi masalah kewangan.

Kelmarin, Khalid menyuarakan kekecewaannya apabila FAM tidak membahagikan sebahagian daripada peruntukan itu kepada KLFA walaupun KL City FC ‘membekalkan’ enam pemain untuk skuad Harimau Malaya yang beraksi pada Piala Asia di Doha, Qatar, Januari lalu.

Pada 26 Jan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM5 juta kepada FAM bagi menguruskan skuad kebangsaan selepas kagum dengan semangat juang skuad kendalian Pan Kim Gon ketika itu mengikat Korea Selatan 3-3 pada aksi terakhir peringkat Kumpulan E Piala Asia 2023.

Sebaliknya, Noor Azman dalam kenyataan hari ini berkata FAM juga tidak pernah berpeluk tubuh dengan masalah tunggakan gaji pemain beberapa pasukan Liga Super.

“Sudah tentu tunggakan gaji pemain ini memberikan impak kepada kelab dan hanya kelab berkenaan yang mampu menyelesaikan masalah tersebut.

“Jadi sebaik-baiknya beri ruang kepada kelab itu untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji ini,” katanya.

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan