AM

YKM ANJUR LARIAN BANTU ANAK YATIM AKIBAT COVID-19

19/07/2024 09:15 PM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) menyasarkan kutipan dana RM1.5 juta menerusi penganjuran program Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2024 pada 29 Sept depan bagi membantu kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa atau penjaga akibat COVID-19.

Pengerusi YKM Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihaknya turut menyasarkan 3,000 peserta menyertai program yang julung kalinya diadakan di Persiaran Floria, Cyberjaya dekat sini.

Beliau berkata setakat ini, YKM telah mengenal pasti 6,000 anak yatim dan yatim piatu yang kehilangan tempat bergantung sejak pandemik COVID-19 melanda negara empat tahun lepas.

Ismail Sabri berkata ketika beliau menjadi Perdana Menteri, sebanyak RM25 juta diperuntukkan bagi membantu golongan berkenaan.

“Bagi mengurangkan bebanan kepada kerajaan, kita bersetuju mencari dana sampingan selain dana yang diberikan kerajaan. Saya ucap terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana kerajaan bersetuju untuk menyumbang RM5 juta setahun,” katanya pada sidang media LKM 2024 di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata LKM 2024 dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Larian Santai 5 kilometer (km), 10 km (Terbuka dan Veteran) dan 21 km (Terbuka dan Veteran).

Yuran pendaftaran bagi kategori 5 km ialah RM45, 10 km (RM65) dan 21 km (RM85) manakala harga promosi akan diberikan kepada 2,000 peserta terawal iaitu RM39 bagi kategori 5 km, 10 km (RM59) dan 21 km (RM79).

Tarikh akhir pendaftaran bagi LKM 2024 pada 7 Sept ini dan orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi YKM di https://yayasankeluargamalaysia.org.my/ atau laman sesawang rasmi LKM 2024 di https://lariankeluargamalaysia.com/ untuk mendaftar dan maklumat lanjut. 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan