AM

ISTIADAT PERTABALAN: PM ANWAR SEMBAH TAHNIAH KEPADA YANG DI-PERTUAN AGONG KE-17

20/07/2024 09:39 AM

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pertabalan yang berlangsung hari ini. 

"Semoga Allah SWT memberkati pemerintahan Duli Tuanku serta terus berada pada kedudukan paling tinggi dalam Perlembagaan negara, seiring fungsi institusi diraja sebagai pelindung agama Islam dan menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan semua kaum di negara ini," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini. 

Perdana Menteri mewakili seluruh rakyat Malaysia juga menzahirkan ketaatan dan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada institusi Raja Berperlembagaan. 

Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 berlangsung di Balairung Seri Istana Negara hari ini, dan dihadiri ratusan tetamu termasuk Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Jemaah Menteri, komuniti diplomatik asing di negara ini dan pemimpin utama negara.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan lepas.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan