AM

ISTIADAT PERTABALAN YANG DI-PERTUAN AGONG TONJOL KEISTIMEWAAN RAJA BERPERLEMBAGAAN DI MALAYSIA

20/07/2024 03:57 PM

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Istiadat pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 hari ini menonjolkan keistimewaan dan keunikan sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini.

Pensyarah Kanan dan Panel Pakar Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Ismail Ma’arof berkata istiadat pertabalan yang dilaksanakan lima tahun sekali itu turut menggambarkan model perpaduan dan kesederhanaan di Malaysia.

Beliau berkata pada masa sama, istiadat penuh tradisi berkenaan juga melambangkan kedaulatan dan legitimasi keberadaan Raja-Raja Melayu dalam sistem pemerintahan di negara ini.

"Ia juga sebagai pembelajaran kepada negara lain untuk memelihara warisan. Kita masih mengekalkan warisan turun-temurun ini,” katanya ketika menjadi tetamu program Granstan Khas Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 terbitan Bernama TV hari ini.

Istiadat pertabalan Sultan Ibrahim berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara dan dihadiri ratusan tetamu termasuk Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Jemaah Menteri, komuniti diplomatik asing di negara ini dan pemimpin utama negara.

Turut berangkat Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah bersama isteri Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha dan Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa.

Seorang lagi Panel Penulis Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM Noraiman Suhaidi Norizam berkata fungsi Yang di-Pertuan Agong sangat penting dalam mengimbangi tata kelola negara selaras dengan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menjelaskan di bawah peruntukan itu, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri kecuali dalam kes Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki Seri Paduka Baginda bertindak mengikut budi bicara.

“Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan ada menyebut berkaitan Seri Paduka Baginda boleh bertindak atas budi bicara dan mendapat nasihat daripada pakar-pakar yang lain seperti Majlis Raja-Raja. Di situ jelas kita akan nampak fungsi Yang di-Pertuan Agong itu sangat penting dalam mengimbangi tata kelola negara,” katanya.

Selain itu, beliau berkata menerusi peruntukan terbabit Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda untuk menyelesaikan isu-isu termasuk kemelut politik.

“Kalau kita lihat pada 2021 apabila berlakunya kebobrokan demokrasi, dengan jelas kita nampak Yang di-Pertuan Agong ke hadapan dan menyelesaikan masalah yang dilakukan pemain-pemain politik itu sendiri. Jadi kita lihat andai kata institusi raja tiada dalam negara, apa akan jadi kepada kita semua rakyat jelata,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan